Isnin, 25 Februari 2013

Majlis Hari Jadi

Sekitar bulan Januari  2013, anakku Irfan telah bertanya kepadaku, bila hendak buat majlis hari jadi untuknya dan abangnya Idzham. Sempat juga Irfan  berkata kepadaku, aku tidak pernah buat majlis hari jadinya.  Sebelum ini aku pernah juga buat majlis hari jadi semasa Irfan berumur dua tahun dan Idzham berumur 4 tahun.   Selepas itu aku tidak pernah lagi buat majlis hari jadi mereka memandangkan aku sibuk dengan urusan yang lain.
 
Kedua-dua anakku dilahirkan pada tarikh yang sama iaitu 31 Januari.  Idzham dilahirkan pada tahun 2001 dan Irfan pula dilahirkan pada tahun 2003.  Walaupun kedua-duanya dilahirkan pada  tarikh yang sama, tetapi kedua-duanya mempunyai karektor yang berbeza. Tetapi yang pasti sama,  kedua-duanya begitu manja denganku.
 
Kebetulan pula pada tahun ini, bonus yang kedua dibayar pada bulan Januari, maka aku pun bersetuju untuk membuat majlis hari jadi mereka.   Aku pun membuat kad jemputan hari jadi anak-anakku untuk mereka menjemput kawan-kawan mereka nanti.  Tarikh yang aku dicadangkan ialah 2 Februari 2013 kerana pada hari itu jatuh pada hari Sabtu.  Kebetulan pula 1 Februari cuti Hari Wilayah.  Aku menjemput adik-beradikku untuk hadir sama dalam majlis tersebut.  Semasa aku pulang bersama suami, aku memaklumkan akan mengadakan majlis hari jadi anak-anakku pada tarikh 2 Febrruari 2013 dan sebelah petang pulal akan mengadakan  tahlil bersama adik-beradikku.  Tiba-tiba suamiku berkata pada 1 Februari 2013, beliau akan pergi ke Tasik Banding, Perak bersama-sama  rakan-rakan sepejabatnya untuk program memancing ikan dan melawat perkampungan Orang Asli di sana.  Geram betul apabila aku mendengar berita itu.   Aku berasa seolah-olah , ia lebih seronok bersama rakan-rakan daripada kami sekeluarga.  Suamiku menyarankan supaya ditangguhkan dahulu kepada tarikh yang lain, tetapi aku mengatakan  kepadanya akan tetap juga untuk mengadakan majlis tersebut pada tarikh itu walaupun dia tiada ketika itu.

Beberapa hari selepas itu, setelah aku fikirkan, akhirnya aku merancang untuk membuat majlis tersebut pada 9 Februari 2013 iaitu jatuh pada hari Sabtu.  Aku mula membeli barangan untuk dibuat sebagai door gift.  Door gift itu akan diberi kepada  kawan-kawan anak-anakku nanti.  Kebetulan pula disuatu petang di hujung minggu, suamiku tidak pergi ke mana-mana, lantas aku mengajak suamiku untuk membeli barangan keperluan dalam majlis itu.  Suamiku membawa aku ke Jalan Chow Kit, kedai borong menjual barang mainan anak-anak.  Dapat juga aku membeli sedikit sebanyak barangan di situ.   Di samping itu, sempat juga aku keluar  semasa bekerja di waktu rehat ke kedai borong di Pasar Pudu membeli coklat, keropok dll.  Di hujung minggu yang lain, aku mengisi barangan tersebut ke dalam plastik dan diikat dengan reben berwarna ungu.  Plastik itu aku simpan sejak  majlis mereka dahulu. Masih elok lagi untuk digunakan.  Memandangkan plastik itu hanya mempunyai 20 keping sahaja, terpaksalah aku membeli beg kecil untuk menambahkan lagi jumlahnya agar semua tetamu kecilku dapat memilikinya.


 
 



 
 

 Nasib baik aku teringatkan pada majlis tersebut, kek untuk hari jadi perlu ada.  Takut tak sempat untuk mencarinya, aku telah menempah kek hari jadi dengan kawan sepejabatku yang biasa mengambil tempahan.   Aku berkata kepadanya kek tersebut dibuat dalam anggaran seberat 1 kg sahaja.  Pada pagi Jummat bertarikh 8 Februari 2013, kawanku pun menghantar kek yang telah  aku tempah itu.  "Hmmm cantik juga kek ini untuk majlis anakku nanti"  berkata dalam hatiku.


Petang itu selepas mengambil anak-anakku dari sekolah, aku terus bersilat di dapur  menyediakan juadah untuk majlis keesokan harinya.  Malam itu, aku masak rendang daging, dan kuah spageti.  Semasa aku memasak di dapur, aku meminta tolong kepada kedua-dua anak-anakku untuk mengemas rumah.  Selepas kedua-dua menu itu selesai dimasak, aku memasak nasi impit pula.  Malam itu juga sempat  aku membuat agar-agar kosong untuk dibuat sebagai pencuci mulut. Semasa aku memasak di dapur, mesin basuh juga sedang menjalankan tugasnya mencuci pakaian yang kotor.  Apabila semuanya selesai, jam menunjukkan pukul 12.00 malam.   Aku keletihan dan tugas lain sedang menanti untuk keesokan harinya.
 
Keesokan paginya, aku bangun lebih awal daripada biasa.  Selepas mandi, aku menyidai baju yang telah dibasuh malam tadi.  Kemudian aku merebus spageti.  Pagi itu aku membuat kuah lontong.  Apabila kuah lontong telah selesai dimasak, aku  menyediakan bahan untuk membuat mee hoon goreng pula.   Jam menunjukkan pukul 12.30 pagi.  Rumah aku pula tidak sempat untuk dikemas rapi.  Mulut aku becok meminta pertolongan anak-anakku. 
 
Tiba-tiba terdengar suara orang memberi salam.  Rupa-rupanya anak adikku dari Kota Warisan, Sepang telah pun sampai.  Nasib baik adik iparku menolong sedikit sebanyak untuk menyusun makanan di atas meja.  Tepat jam 2.00 petang seorang demi seorang kawan Idzham dan Irfan tiba.
 











 
 
 
 
Ada seorang rakan Irfan yang bernama Mohd Shahmi.  Mulutnya petah berbicara tentang pekerjaan ayahnya bila ditanya.  Menurut Shahmi, ayahnya seorang Ketua Keselamatan Negara dan selalu pergi out station menjalankan tugas-tugas khas.   Majlis berakhir jam 4.00 petang.  Aku pernah juga melihat ayahnya semasa minum di kedai mamak  Taman Impian.  Ayahnya pernah memberi ceramah tentang rahsia dokumen rasmi di Dewan Bahasa dan Pustaka 2-3 yang lepas.
 
Seorang lagi rakan Irfan yang menarik perhatianku ialah seorang budak perempuan yang dipanggil Puteri sahaja.  Menurut Irfan, Puteri adalah salah seorang yang meminatinya...Hmmm perasannya anakku Irfan...Puteri tiba jam 3.00 petang.  Aku menyuruhnya mengambil makanan, tetapi dia memaklumkan masih kenyang lagi.  Puas juga aku menyuruhnya makan, tetapi sampai habis majlis ia tidak menjamah sebarang makananku, cuma sepotong kek sahaja yang dimakannya. 
 
Jam menunjukkan pukul 4 petang.  Seorang demi seorang kawan-kawan Idzham dan Irfan minta diri untuk pulang.   Adik-adikku yang lain juga hadir kecuali kakakku di Kota Warisan dan adikku di Seremban.
 
Selamat sudah majlis hari jadi anak-anakku, aku doakan semoga anak-anakku bertambah matang dalam menjalani kehidupan dan menjadi anak yang soleh...Amin.
 
Catat Ulasan