Rabu, 27 Mac 2013

Cuti Sekolah

26/3/2013 (Selasa)

Sudah dua hari anak-anakku cuti sekolah.  Sudah dua hari juga aku membawa anak-anakku ke pejabat kerana tiada siapa yang akan menjaga mereka di rumah.  Mereka juga tidak mahu duduk di transit di Sekolah Agama kerana bosan tiada kawan-kawan dan juga bilik air di situ juga rosak.  Mahu tidak mahu terpaksalah aku mengheret mereka ke pejabat.  
Semasa aku memandu kereta ke pejabat, aku lihat ada dua tiga orang budak yang berpakaian sekolah.  Aku dapat merasakan  Idzham tentu ada kelas tambahan, memandangkan tahun ini dia dalam tahun 6.

     "Idzham,  itu budak sekolah mana tu?  itu budak yang pakai baju sekolah itu, dia tahun berapa?"  Aku bertanya bertalu-talu kepada Idzham kerana merasakan yang Idzham sepatutnya bersekolah pada hari itu.

       "Saya tidak kenal" balas anakku Idzham.

       "Hai, takkan Idzham tidak kenal kawan-kawan yang dalam tahun 6"

        "Mana saya kenal semuanya"

        "Iyalah, walaupun Idzham tidak kenal, tapi semasa beratur sekurang-kurangnya Idzham pernah nampak mereka" 

Memandangkan jalan untuk menuju ke jalan besar agak sesak walaupun musim cuti sekolah, aku mengambil keputusan mengambil jalan lain.  Jalan itu menuju ke sekolah Idzham.   Sampai di depan sekolah, aku lihat ramai budai-budak yang bersekolah.   Geram hatiku tidak terkira dengan Idzham kerana mengambil mudah saja.  Aku pula tidak mendapat sebarang maklumat dari  sekolah bila kelas tambahan dibuat.   Pening pagi itu bila aku memikirkan betapa ruginya Idzham kerana tidak bersekolah.

 Aku memberhentikan kereta betul-betul di tepi pagar masuk ke sekolah.   Aku menyuruh Idzham bertanya kepada pengawal sama ada kelas tambahan akan dibuka pada keesokan harinya.   Idzham kembali kepadaku dan mengatakan hanya dua hari sahaja kelas tambahan diadakan. 
 
Sepanjang perjalanan ke pejabat, aku membebel keapda Idzham.  Aku juga memberitahunya, Idzham merupakan seorang yang di dalam kerugian kerana dia sepatutnya bersekolah, tetapi membuang masa mengikut aku ke pejabat.   Sambil itu aku membacakan satu surah yang mana Allah telah bersumpah dengan masa.

 "Demi Masa.  Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salleh serta berpesan-pesan di dalam kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran".
 
    "Idzham tahu tak, jika Idzham bersekolah hari ini, ada malaikat yang akan mencatat segala kebaikan dan pahala Idzham pada hari ini.   Setiap majlis ilmu yang dihadiri, akan ada malaikat yang akan mencatat segala kebaikan kita.  Itulah pahala yang paling mudah untuk kita dapat hanya dengan mendengar apa yang cikgu ajarkan.  Idzham tahu tak?" 
 
Sampai sahaja di pejabat, aku mencari blog yang mengandungi  gudang soalan untuk murid-murid yang akan mengambil peperiksaan UPSR.  Akhirnya dapat juga Idzham  membuat latihan menjawab soalan walaupun berada di pejabatku.  Aku berharap agar Idzham diberi hidayah dan diterangkan hatiku untuk mendapat ilmu.  Aku juga berdoa agar ia akan mendapat keputusan yang cemerlang bagi peperiksaan UPSR nanti.  Amin....
 
 

Tiada ulasan: