Khamis, 14 Mac 2013

Kursus Penulisan Sastera Kreatif

12/33/3/2013 (Selasa dan Rabu)

Dua hari aku  menghadiri Kursus Penulisan Sastera Kreatif anjuran Bahagian Akademi DBP di Dewan Kuliah.  Penceramah yang dijemput untuk memberi kursus tersebut ialah penulis  terkenal yang dikenali dengan nama Zaen Kasturi.  Zaen Kasturi  merupakan mantan Dewan Bahasa dan Pustaka.  Pada waktu itu, nama Zaen Kasturi belum lagi dikenali ramai.  Aku tidak pernah menegurnya semasa ia bertugas di sini, tetapi hanya melihatnya dari jauh.  Ketika itu aku   bertugas di Bahagian Penterjemahan.  Ketua bahagian aku ketika itu Tn. Hj. Ismail bin Ahmad.  Beliau juga seorang penulis yang menggunakan dengan nama pena Ajikik.   
 
Aku memang suka menulis.  Tetapi aku akan menulis mengikut cita rasaku.  Terpulang kepada pembaca untuk menilainya kerana aku bukan untuk menjadi penulis yang terkenal. Cukup sekadar untuk menulis diari hidupku sebagai kenanganku di masa akan datang.
 
Setelah aku menghadiri kursus itu, sedikit sebanyak aku mendapat ilmu penulisan bagaimana untuk memulakan sesuatu cerpen dan bagaimana pula untuk mengembangkan sesuatu watak.  Jika anda tiada idea pun tidak mengapa.  Sebagai contoh, letakkan satu perkataan yang anda pilih seperti Kringgg.....Anda boleh meneruskan cerpen anda dengan pelbagai gaya.  Kalau saya yang menulis, akan jadi  seperti berikut;-
 
Kringg...Kringg.....
 
Terkejut aku dari lamunan.   Deringan telefon yang berbunyi di ruang tamu telah mematikan lamunanku sejak tadi.  Aku menjadi cemas tatkala mendengar bunyi telefon pada waktu sebegini.   Aku melihat jarum jam menunjukkan pukul 12.30 malam.  Sedari tadi mataku tidak mahu tidur.  Aku menjadi fobia untuk menerima panggilan telefon di   waktu malam disebabkan kisah silamku di  zaman remaja.   Aku pernah menerima panggilan telefon dari Balai Polis Gua Musang yang memberitahu ayahku telah meninggal dunia.  Ketika menerima panggilan dari Balai Polis Gua Musang, jarum jam menunjukkan pukul 12.00 malam. 
 
Berdebar di hatiku untuk menjawab panggilan  telefon itu.  Tapi aku gagahi juga untuk menjawab panggilan itu. 
 
"Arghhh... siapalah agaknya yang membuat panggilan itu"  Aku berjalan pantas untuk menajwabnya.
 
Walaupun Zaen Kasturi tidak berapa pandai untuk menambahkan sedikit humor dalam ceramahnya tetapi aku dapat juga sedikit sebanyak ilmu yang diberikan.  Beliau juga menerangkan bagaimana untuk mengembangkan sesuatu watak dalam sesuatu cerpen.  Contoh saya mulakan Puteri Alina suka menyanyi lagu-lagu asli.  Saya cuba kembangkan watak Puteri Alina seperti ini:
 
Puteri Alina amat suka menyanyi lagu-lagu asli.   Rambutnya yang panjang mengurai di hias pula  bunga melur menambahkan seri di wajahnya.  Cucuk sanggul di selitkan pada sanggulnya di sebelah kanan.  Kulitnya yang putih bersih dan badannya yang tinggi lampai menjadi idaman setiap teruna.  Malam itu Puteri Alina memakai baju kebaya sulam berwarna biru laut.  Memancar-mancar cahaya apabila labuci yang terlekat di bajunya terkena cahaya lampu..
 
Hmm...apa macam?  Kalau diteruskan bolehlah dijadikan satu cerpen.  Menurut En. Zaen Kasturi seelok-eloknya biarlah lebih daripada lima muka surat.  Aku akan cuba membuat satu cerpen, tetapi bukanlah sekarang kerana banyak tugas-tugas lain yang perlu aku buat dahulu...Insyaallah...
 
Walau apa pun, aku mengucapkan terima kasih kepada Akademi DBP dan juga En. Zaen Kasturi kerana sedikit sebanyak aku telah mendapat  ilmu yang mungkin aku boleh gunakannya di suatu hari nanti....Amin.

                                                        Zaen Kasturi


Sijil yang aku terima  kerana  telah menghadiri Kursus Penulisan Sastera Kreatif pada 12 - 13/3/2013 di Dewan Kuliah, Dewan Bahasa dan Pustaka.

 

Tiada ulasan: