Isnin, 18 Mac 2013

Nak Beli Baju Tidur Anak

16/3/2013 (Sabtu)

Hari ini pelbagai aktiviti yang telah aku rancang kerana anakku Idzham tidak ada kelas tambahan. Aku mengajak anakku pergi SOGO Shopping di Jalan Tuanku Abdul Rahman untuk membeli baju tidur mereka.  Baju tidur mereka kebanyakannya sudah sendat dan seluarnya pun  sudah senteng belaka. 

Setelah siap mengemas rumah (lebih kurang je), tepat jam 10.00 pagi aku pun bertolak ke sana.  Aku memandu dengan laju (kelajuannya cuma 90-100 km sejam, lagipun hari Ahad tidak berapa sesak) dan mengharapkan agar dapat tempat letak kereta di Level B1.  Sampai di SOGO lebih kurang jam 10.30 pagi.  pariking di Level B1 sudah penuh, tapi parking di level B2 masih banyak yang kosong. 

Memandangkan kami semua belum bersarapan, aku mengajak anak-anakku bersarapan di Kopitium Kampung yang terletak di dalam bangunan SOGO Kompleks.  Idzham mengambil Koew Teow Goreng, Irfan mengambil Mee Hoon Goreng dan aku pula mengambil Nasi Lemak Sambal Sotong.   Irfan meminta aku membeli Ayam Goreng kegemarannya.   Kami minum air Teh Tarik sahaja.  Jumlah kos kesemuanya cuma RM15.00.   Tetapi apabila aku memakan Nasi Lemak Sambal Sotong, patah  seleraku.  Terdetik di hatiku "Kalau aku yang buat  Sambal Sotong ini  lagi sedap", tapi hendak buat macam mana, masa tidak mengizinkan.



Selesai bersarapan, kami terus menaiki tangga bergerak dan di Loby kelihatan banyak seluar jeans dan blouse yang potongan harganya mencecah 70 peratus.  Kebetulan pula,  sememangnya aku ingin membeli seluar jeans. 

         "Ibu kata hendak beli hadiah kawan ibu".  Kata anak-anakku apabila melihat aku sibuk mencari seluar jeans yang sesuai dengan badanku..

           "Sekejaplah...Ibu hendak beli seluar ibu"  kataku sambil mencari saiz seluar yang sesuai dengan saiz badanku.  Aku mengambil beberapa jenama yang berlainan dan mencubanya  di bilik persalinan.  

Alhamdulillah, akhirnya dapat juga seluar jeans yang sesuai dan selesa untuk aku pakai nanti.  Memandangkan di pagi hari, mudah sahaja aku membayarnya kerana orang belum ramai lagi.  Selepas itu aku terus pergi ke tingkat 2, tempat pakaian orang lelaki.   Aku terus menuju ke tempat tali leher.  Kebetulan pula ada potongan harga sebanyak 70 peratus untuk tali leher jenama Polo. 

Semasa aku memilih corak yang sesuai dan cantik, aku teringat pula hari lahir suamiku akan tiba iaitu pada 26 Mac akan datang.   Aku pun memilih dua helai tali leher yang aku rasa cantik dan sesuai untuk dpakai di pejabat.  Di hadapan tangga bergerak, kelihatan orang berebut-rebut memilih baju kemaja berjenama ........ kerana potongan harganya 80 peratus.  Aku pun turut sama berebut untuk memilih baju suamiku yang akan dipadankan dengan tali leher yang kubeli tadi.   Akhirnya aku memilih baju warna coklat berjalur coklat cerah.   Cepat-cepat aku terus menuju ke kaunter pembayaran kerana aku sudah terasa keletihan kerana membuat pekerjaaan dengan perasaan ingin mengejar masa.

Anak-anakku mengajak aku ke tingkat tujuh.  Sampai di sana cuma ada jualan barangan rumah seperti barangan bilik tidur dan dapur.  Anak-anakku merengek untuk membeli bantal berbentuk U kerana mereka kata boleh digunakan untuk tidur di dalam kereta nanti.  Aku membeli dua biji yang masing-masing berwarna purple dan hijau tahi lembu.  Selesai semuanya kami pun terus menaiki lift untuk menuju ke tempat letak kereta.

        Aku memandu kereta untuk pulang ke rumah.   Ketika sampai di  jalan persimpangan ke Dewan Bahasa dan Istana tiba-tiba aku  teringatkan sesuatu terus terpacul dari mulutku .
   
       "Astaghfirullah haladzim, Subhanaullah" kataku.
         
         "Kenapa ibu?", kedua-dua anakku  terkejut kehairanan sambil memandang ke arahku apabila mendengar aku berkata demikian. 

          "Sebenarnya Ibu hendak membeli baju tidur koranglah.   Patutlah Ibu rasa macam ada yang kurang".    Geram kepada diri sendiri pun ada juga  kerana aku terleka semasa membeli hadiah kawanku dan suamiku. 
  
            "Tidak apalah, esok kalau tidak ada apa-apa, nanti Ibu belillah baju tidur korang" kataku kepada anak-anakku. 
 
         "Hai, nak beli lain, lain pula yang dibeli" kataku di dalam hatiku.
 
Catat Ulasan