Jumaat, 29 Mac 2013

Sarapan Pagi dengan Spageti

29 Mac 2013 (Jumaat)

Pagi ini aku telah buat Spagetti, telur rebus tiga suku masak dan roti yang aku beli di Tesco, Kajang semalam.   Aku telah mengambil cuti rehat selama dua hari untuk menemani anak-anakku yang sekarang ini cuti sekolah selama seminggu.  Kali ini aku tidak berkesempatan untuk membawa anak-anakku berjalan kemana-mana.  Tapi aku berjanji untuk membawa mereka ke Cameron Highland, Pahang untuk cuti sekolah dimasa akan  datang.  Walaupun begitu, sempat juga aku membeli kain untuk dibuat Baju Melayu, lagipun Hari Raya Aidil Fitri  tak sampai berapa bulan saja lagi.
 
Kuah Spageti



Spageti
 
 
 
Telur rebus tiga suku masak

Kebetulan pula, hari ini ada orang Astro untuk memasang Astro di rumahku pada hari ini. Jarum jam sudah menunjukkan pukul 11.20 pagi tapi tidak sampai-sampai lagi walaupun sudah dua kali orang Astro telefonku.   Aku pula ada rancangan petang ini  ke Pejabat Pendaftaran Negara di  Kajang, untuk mengambil kad pengenalan baru aku dan anakku Idzham yang tahun ini sudah berusia dua belas tahun.  Betul kata orang, penantian itu satu penyiksaan, kerana segala kerja yang perlu aku buat terpaksa aku tunda dahulu.  Jika aku masak untuk persediaan makan tengah hari nanti, jika orang Astro datang, dah jadi separuh jalan pula jadinya....Takkan aku nak duduk di dapur saja, sekurang-kurangnya aku kena tengok apa yang mereka buat kerana suamiku tidak ada di rumah.  Hai...Astro..Astro...sabar aje lah...

Akhirnya sampai jua orang Astro untuk memasang Astro di rumahku.  Memandangkan hanya seorang sahaja yang membuatnya, agak lambat juga untuk memasangnya.  Tepat jam 12.25 tengah hari baru selesai kerja memasang Astro tersebut.

Selepas itu aku pun mulalah bersilat di dapur untuk menyiapkan makan tengah hari pula .   Aku sempat membuat gulai kari ikan bawal, tauge goreng campur tempe, ikan masin jeruk belanak sahaja.  Setelah selesai makan tengah hari, aku bersiap-siap untuk pergi ke Pejabat Pendaftaran di Kajang.  Semasa di dalam perjalanan, aku lihat langit agak gelap menandakan hujan akan turun.  Jalan pula agak sesak menghala ke bandar Kajang.  Jarum jam sudah menunjukkan pukul 3.30 petang. Tidak henti-henti aku  berdoa kepada Allah agar dipermudahkan segala urusanku. Tidak sampai berapa minit kemudian hujan pun turun dengan lebatnya.  Aku terkial-kial juga untuk mencari dan melihat bangunan Perhentian  Bas Kajang kerana hujan lebat menyebabkan aku tidak berapa jelas untuk melihatnya.   Berkat doaku dan diizinkan Allah jua, aku sampai tepat jam 4.00 petang dan mudah pula aku mendapat tempat meletakkan kereta.     Akhir sekali aku dan anakku dapat kad pengenalan tidak sampai sepuluh minit selepas aku mengambil nombor giliran.  Tahniah kepada Pejabat Pendaftaran Negara Kajang kerana kecekapan dalam menjalankan tugas yang diamanahkan....
 
 
Catat Ulasan