Rabu, 6 Mac 2013

U mobile service centre

3 Mac 2013 (Ahad).  
 
Pagi itu  aku telah membuat nasi lemak untuk sarapan pagi  keluargaku.  Sememangnya aku juga  suka makan nasi lemak.  Jika aku sampai awal ke pejabat, sudah tentu nasi lemak pilihanku.  Paling penting untuk buat nasi lemak ialah sambal tumis mesti sedap.  Sambal tumis yang sedap sudah tentunya  apabila terbau aromanya sahaja   boleh  menaikkan selera untuk makan.  Aku bukan hendak meninggi diri  tetapi semasa adik-adikku kecil, mereka amat suka dengan sambal tumis ikan bilisku...terutama adikku Adnan (allahyarham).   Anakku yang kedua iaitu Irfan pun amat suka dengan sambal tumisku.  Kadang-kadang aku memarahi Irfan jika dia makan sambal tumis itu banyak sangat kerana ia ratah  sambal ikan bilis begitu saja.   Tepat jam 9.00 pagi, nasi lemakku telah siap terhidang di atas meja.  Aku mengajak suami dan anak-anakku untuk bersarapan pagi bersama-sama di meja makan. Sempat juga aku mengambil gambar tetapi malangnya lupa pula hendak mengambil gambar nasi lemaknya....
 
set nasi lemak
 
 
Sambal tumis ikan bilis
 
Sayur kangkung goreng
Telur rebus
 



Semasa bersarapan, sempat aku memberitahu suami untuk pergi ke Times Square U Mobile Service Centre kerana kaunter U Mobile beroperasi setiap hari walaupun hari minggu.  Tujuanku ke sana adalah  kerana broad bandku tidak berfungsi sejak seminggu dua ini.  Kemungkinan aku telah  terlewat bayar sehingga bil yang kedua pula telahpun sampai.  Suamiku juga memberitahu ingin pergi majlis perkahwinan anak kawan sepejabat kami yang diadakan di Dewan Bankuet, Dewan Bahasa.
 
Selepas sarapan pagi, aku menyuruh anak-anakku mengemas bilik tidur mereka dan melihat jadual sekolah hari Isnin takut tak sempat.  Biasalah bila malam semua dah letih dan mereka akan malas untuk membuatnya.  Aku pula menyidai kain yang telah siap dibasuh di penyidai kain.   Cepat-cepat aku menguruskannya sehingga badanku berpeluh-peluh seperti orang baru bersenam.  
 
Setelah selesai semuanya, aku terpaksa mandi sekali lagi kerana aku rasa tidak selesa jika badanku berpeluh-peluh.  Jam 11.45 pagi kami pun bertolak menuju ke bandar Kuala Lumpur.   Aku memaklumkan kepada suamiku untuk pergi ke majlis perkahwinan dahulu sebelum pergi ke Times Square.
 
Sampai sahaja di Dewan Bankuet, kelihatan kawan kami Zaharuddin Bab memakai baju berwarna biru, begitu juga dengan kaum kerabatnya.  Tema yang mereka gunakan ialah warna biru.  Suamiku siap tambah sepinggan lagi nasi minyak kerana katanya lauk dagingnya sedap.  Padahal semasa makan nasi lemak pun bertambah juga.  Aku agak gusar juga kerana suamiku adalah seorang pengidap penyakit kencing manis.  Seorang pengidap kencing manis tidak boleh memakan nasi dalam kuantiti yang banyak kerana ia mengandungi glukos yang boleh menaikkan kadar gulanya dalam darah.

Setelah selesai kami pun menuju ke Times Square.  Walaupun aku bekerja di Dewan Bahasa, baru kali kedua aku masuk ke bangunannya.   Kali  pertama aku pergi ke Times Square semasa  pembukaan bangunan Times Square.  Seronok juga suasana di dalamnya, dan harga pakaian yang terpapar tidaklah begitu mahal.  Kami sekeluarga terus pergi mencari U Mobile Service Centre yang terletak di Lobi sahaja.   Aku mengambil nombor giliran dan dapatlah aku nombor 1112.  Punyalah lama aku menunggu, sehingga suamiku sempat melelapkan matanya.  Mungkin bentuk kaunternya yang terlalu santai menyebabkan orang ramai bertanya terus kepada petugas di kaunter yang mana sedikit sebanyak mengganggu kelancaran tugas petugas tersebut.  Ini adalah kerana  di tempat itu tiada kaunter pertanyaan.  Setelah menunggu hampir satu jam lebih baru urusanku selesai.  

 
 
 
 
Catat Ulasan