Rabu, 17 April 2013

Aduh!! ...ke tandas lagi...

17/4/2013 (Rabu)

Hari Khamis yang lalu, perutku rasa tidak berapa selesa.  Badanku juga terasa  seolah-olah seram sejuk sahaja.  Kalau ikutkan hati, ingin rasanya aku pergi klinik ambil cuti sakit.   Tetapi petang itu ada Mesyuarat Agung Badan Keluarga Dewan Bahasa dan Pustaka, dan ada pula pengundian  AJK yang baru bagi sesi 2013-2014.  Disamping itu ada hadiah nombor bertuah dan yuran kehadiran sebanyak RM30.00.  Sudah tentu aku tidak akan melepaskan peluang ini, kerana Mesyuarat Agung ini diadakan sekali setahun.
 
Walaupun begitu, aku tetap pergi ke klinik dan mengambil ubat.   Mesyuarat akan dimulakan tepat jam 2.30 petang.  Perut aku berbunyi-bunyi seolah-olah memberitahuku yang aku akan mengalami cirit-birit.  Sudah dua kali aku pergi ke bilik air dan sebelum pergi mesyuarat aku sempat berdoa kepada Allah agar aku dapat  bertahan sehingga petang.  Alhamdulillah namaku naik untuk cabutan nombor bertuah.  Aku telah mendapat hadiah berupa cadar queen saiz.   Aku berkata dalam hati, "hai...asyik dapat untuk suruh tidur jer ..."   Aku berkata demikian adalah kerana semasa Hari Keluarga antara kami adik beradik di Hotel Pemaisuri di Port Dickson dua tahun yang lepas,  aku juga telah mendapat hadiah cadar berserta conferter sekali yang nilainya lebih kurang RM300.00.   Sebelum itu aku juga telah membeli dua helai cadar di Sogo Kompleks semasa Happy Hour di hari Jumaat dengan harga yang paling murah.   Semasa Mesyuarat Hari Keluarga 2 tahun yang lepas, aku juga telah mendapat hadiah toto iaitu lapik tempat tidur yang sehingga sekarang aku belum lagi menggunakannya.  Walau bagaimanapun aku bersyukur kerana walaupun nilainya kecil tapi aku masih lagi beruntung daripada orang lain yang tidak menerima apa-apa hadiah.  Alhamdulillah Ya  Allah, Ya Tuhanku...
 
 

 


Malam itu, perutku memulas-mulas dan bermulalah episode asyik pergi ke tandas...Sudah berapa kali aku pergi ke tandas,  Badanku semakin letih, kerana tidur yang tidak cukup dan air yang semakin kurang dalam badan.  Walaupun begitu aku bersiap-siap seperti biasa kerana anakku akan pergi ke sekolah.   Anak sulungku Idzham hairan apabila melihat aku memakai seluar jeans dan memakai  T-shirt sahaja.   Aku memaklumkan kepadanya yang aku akan pergi ke klinik selepas menghantar mereke berdua ke sekolah.  Mendengar penjelasanku yang aku tidak bekerja hari itu, mulalah Idzham mencari idea bagaimana dia juga tidak perlu ke sekolah dengan alasan ingin menjagaku. Aku mengatakan kepada mereka yang aku masih lagi kuat untuk menjaga diriku dan juga mereka berdua....

Selepas menghantar anak-anakku ke sekolah, aku terus pergi ke Klinik Kita di Cheras Perdana.  Memandangkan masih terlalu awal, aku duduk di dalam kereta dahulu kerana klinik akan dibukan jam 8.00 pagi.