Isnin, 24 Jun 2013

Tiga Kali ke Klinik...

24/6/2013 (Sabtu)

Pagi itu aku pergi ke sekolah anakku untuk mengambil buku laporan peperiksaan yang telah dijalankan pada bulan Mei  2013.  Tepat jam 8.00 pagi aku terus ke sekolah dengan tidak bersarapan kerana mengharapkan agar dapat balik awal.  Sampai sahaja di kelas anakku 4Wawasan, cuma ada seorang sahaja yang sedang berbicara dengan guru kelas 4 Wawasan  iaitu Pn. Suryati Shariff.  Aku terus duduk di kerusi menunggu.  Kemudian guru itu memanggil nama anakku Muhammad Irfan dan beliau memberi nombor giliran kepada anakku.
Tidak beberapa lama kemudian, tibalah giliranku untuk mengadap Cikgu Suryati.  Pencapaian Muhammad Irfan memang amat memuaskan kecuali Bahasa Inggeris sahaja.  Disamping itu kedatangannya juga tidak begitu cemerlang.   Aku maklum dengan jumlah kehadiran anakku itu kerana Irfan memanag kerap sakit semput yang menyebabkan aku begitu gusar untuk menghantarnya ke sekolah.  Seminggu sebelum itupun Irfan terus menerus tidak ke sekolah kerana tangannya menggigil dan dadanya berombak kencang.   Apabila itu berlaku, Irfan akan  memelukku dan mencium tanganku sambil meminta maaf jika ia pernah membuatku berasa marah di atas kedegilannya.  Bila Irfan berbuat demikian,  aku akan berasa amat bimbang dan sebak, kerana perkara sedemikian tidak pernah berlaku. 
Sudah tiga kali aku pergi ke klinik dan juga hospital KL.  Tetapi doktor hanya memberikannya  ubat demam sahaja, sehinggalah aku pergi semula ke Klinik Kita  dan meminta agar Dr. Shami yang memeriksanya kerana Doktor Shami tahu akan segala penyakit anakku sebelum ini.  Doktor Shami menyarankan agar anakku diambil darahnya untuk dibuat pemeriksaan.
Memandangkan DBP tidak cover untuk pemeriksaan darah, aku terpaksa membayar untuk tujuan itu sebanyak RM107.00.   Aku bersetuju untuk membayarnya kerana yang paling penting ialah aku dapat mengetahui apakah penyakit anakku itu.  Tetapi  apabila aku mendapat keputusan pemeriksaan darah itu, doktor memaklumkan kepadaku ia tidak dapat mengesan apakah penyakit anakku itu kecuali satu iaitu anakku ini mempunyai penyakit seperti alergik sama ada penyakit resdung, asma dsbnya.  Ia menyarankan aku pergi ke hospital untuk pemeriksaan lanjut dan surat pengesahan darinya akan diberikan kepadaku semasa balik nanti. 
Hati aku semakin tidak tenang, lantas aku memaklumkan kepada suamiku dan mengajaknya ke Darul Shifaq di Bangi pada malam itu juga sebagai jalan alternatif. Lagi pula yang amat membimbangkan aku ialah  suamiku akan pergi ke Perlis pada 22/6/2013 (malam) kerana sukan Badan-Badan Berkanun akan diadakan di sana.  Suamiku akur dengan permintaanku, kerana ia bimbang dalam tempoh seminggu dia tidak ada di sisi kami.  Selepas sembahyang Maghrib, kami terus bertolak ke sana.   Sampai di sana aku lihat ramai orang sedang menunggu giliran.  Aku mendapat giliran nombor 30.  Setelah berjumpa dengan salah seorang ustaz di sana kami pun pulang dan sampai di rumah jam 11.45 malam. 
Pada 21/6/2013, aku lihat ada perkembangan positif pada Irfan.  Aku membawa baju sekolah ke pejabat dan berharap dapat menghantar Irfan ke sekolah di waktu tengah hari nanti.  Tapi Irfan asik merengek supaya dia diberi cuti kerana hari itu ada sukantara dan dia takut jika guru akan menyuruhnya terlibat sedangkan dia rasa belum begitu pulih.  Disamping itu Irfan telah berjanji akan hadir ke sekolah pada minggu depan.  Akhirnya aku pun bersetuju dengan alasannya itu.
Selepas ini aku berharap, anakku Muhammaf Irfan akan terus sihat walafiat dan menjadi anak yang soleh dan  cemerlang di dunia dan di akhirat. amin...

Tiada ulasan: