Selasa, 2 Julai 2013

Ponteng Sekolah

27/6/2013 (Khamis)

Suamiku masih lagi di Perlis, kerana terlibat dengan Sukan Badan-Badan Berkanun.   Pada 24/6/2013 (Isnin) semua sekolah di Wilayah Persekutuan, Selangor telah diberi cuti khas kerana jerebu yang amat teruk.  Pada hari Selasa, anakku masih lagi tidak hadir ke sekolah kerana kawannya telah menghantar sms mengatakan masih cuti lagi kerana udara masih lagi berjerebu.  Aku pula terus percaya akan sms dari kawan anakku itu.   Pagi  itu aku membawa kedua-dua anakku ke pejabat kerana di transit pun tidak ada apa-apa aktiviti dibuat.  Semasa aku memandu ke pejabat, aku terlihat kelibat beberapa orang budak pergi ke sekolah.  Aku berasa tidak senang hati apabila melihat beberapa orang budak berpakaian sekolah.  Aku menyuruh mereka menjeling ke arah sekolah agama mereka yang dilindungi oleh pokok dan dipisahkan oleh parit besar semasa kenderaan kami melalui  ke jalan besar.  Aku berasa senang hati semula apabila mereka mengatakan kawan mereka memakai baju biasa.
Apabila sampai di pejabat, kawan-kawanku bertanya adakah sekolah mereka diberi cuti lagi, sedangkan sekolah anak mereka telahpun dibuka.  Dengan penuh keyakinan aku mengatakan, di sekolah mereka telah diberi cuti kerana ada yang pulang semula ke rumah setelah pergi ke sekolah. 
Apabila aku pulang dari pejabat, aku lihat banyak bas sekolah berbaris di depan sekolah kebangsaan untuk mengambil budak-budak sekolah pulang.  Aku terus naik angin dan mengatakan sepatutnya hari itu adalah hari persekolahan dan bertanya kenapa kawan anakku  itu menghantar sms mengatakan masih cuti.  Lantas aku menyuruh anakku menghantar sms semula kepada kawannya sama ada kawannya bersekolah pada hari itu.  Jawapan yang diterima ialah "Aku pun tidak ke sekolah dan aku tidur sahaja hari itu".  Apabila aku membaca sms itu, aku pun memeritahu anakku setiap jawapan dari seseorang hendaklah mesti ada pengesahan daripada orang lain juga dan jika tidak betul menyebabkan kerugian pada diri sendiri.   Aku pula tidak dapat melihat berita sepenuhnya kerana sibuk memasak untuk makan malam.  Cuma yang aku dapat pastikan sekolah diberi cuti khas di kawasan Pelabuhan Kelang.   Jerebu...jerebu.....
 
Pada 25/6/2013(Rabu), 
Semasa menghantar Irfan ke sekolah agama, ia memberitahuku ia sakit gigi dan meminta aku membawanya ke klinik gigi. Aku meminta Irfan bersabar kerana jika hendak ke klinik gigi perlu ada temujanji dengan doktor gigi.  Irfan memberitahuku ia tidak tahan lagi  kerana terlalu sakit.  Aku membawanya ke klink gigi di Bandar Hussain Onn.  Malangnya jururawat itu memaklumkan aku terpaksa menunggu satu setengah jam lagi kerana pelanggannya telah membuat temujanji lebih awal walaupun belum sampai ke klinik.  Aku membatalkan niatku untuk berjumpa dengan doktor gigi di situ kerana terlalu lama pula aku perlu menunggunya, sedangkan jika habis awal aku bolehlah  juga pergi ke pejabat pagi itu.  Aku terus pergi ke klinik lain di pekan Balakong,   Apabila doktor itu memeriksanya, ia memaklumkan kepadaku gigi Irfan semuanya elok dan tiada sedikit lubang pun.  Aku tidak meminta sijil cuti sakit untuknya kerana berharap agar irfan akan pergi ke  sekolah kebangsaan.
Balik sahaja dari klinik gigi aku memaklumkan kepada pejabatku yang aku mengambil cuti kecemasan memandangkan waktu itu sudah pukul 11.00 pagi. Kelam kabut aku memasak nasi dan sambal belada ketam agar sempat Irfan makan sebelum pergi ke sekolah kebangsaan nanti.  Tetapi aku lihat Irfan semacam malas sahaja untuk bersiap-siap.  Lantas aku berkeras supaya dia pergi mandi dan bersiap-siap  memakai baju sekolah.   Aku juga menghantarnya sehingga di pintu kelasnya  kerana ia asyik merengek untuk tidak ke sekolah atas alasan tidak sihat.   Tetapi aku tetap berkeras supaya dia masuk juga ke sekolah.
 
27/6/2013 (Khamis)
Irfan masih lagi merengek mengatakan ia tidak sihat.  Aku berkeras dan menyuruhnya bersekolah.  Tepat jam 11.35 pagi, Irfan menaliponku mengatakan ia tidak sihat lagi dan meminta aku mengambilnya.  Aku mengatakan yang aku ada mesyuarat dan macam-macam lagi dan menyuruhnya pergi ke sekolah.  Tetapi apabila aku hendak mengambil anak-anakku dari sekolah, penjaga itu memberitahu Irfan tidak ke sekolah kebangsaan.  Aku bertanya kepada anakku dan ia menjawab badannya panas kerana demam.  Aku menjadi pening dan buntu melihat gelagat irfan yang seolah-olah tidak berminat lagi untuk ke sekolah. Walhal pelajarannya amat memuaskan dan dikelaskan dalam kelas yang pertama dari sebelas kelas yang seusia dengannya.  Keesokan harinya aku meminta ustaz yang berada di pejabat sekolah agamanya memantau agar anakku  pergi ke sekolah kebangsaan.
Suamiku telahpun pulang dari Perlis.  Aku meminta ia memberi sedikit nasihat dan perangsang kepada anakku agar Irfan bersemangat semula untuk pergi ke sekolah.
 
1/7/2013 (Isnin)
Seperti biasa Irfan sekali lagi  mencari akal  untuk cuba ponteng  sekolah kerana cirit-birit.  Aku lihat  memang ia buang air beberapa kali.  Aku menyuruhnya pergi jua ke sekolah.   Rupa-rupanyanya suamiku telah menunggu di sekolah agama,  untuk memastikan dia hadir sekolah.  Semasa  Irfan sedang merengek-rengek kepadaku untuk tidak ke sekolah atas  alasannya sesak nafas,  suami terus datang ke arah kami  dan menyuruhnya naik ke tingkat atas kerana kawan-kawannya telah berada di tingkat atas.  Apabila Irfan melihat ayahnya berdiri sambil memandangnya, Irfan pun terus naik ke tingkat atas tanpa banyak soal jawab.
Semasa di pejabat, aku terbaca di ruangan BH Didik di Berita Harian,   Klinik UPSR Fasa 2 akan diadakan pada bulan Ogos 2013,  Aku terus menghubungi Berita Harian dan ia menyuruhku supaya membuat pendaftaran di laman web yang telah dinyatakan di akhbar itu.  Aku pun mendaftarkan nama anakku yang sulong Muhammad Idzham yang akan mengambil peperiksaan UPSR tahun ini untuk menyertai Klinik UPSR itu.  Tetapi apabila aku cuba untuk membuat pembayaran secara online beberapa kali, malanya tidak Berjaya.  Aku memberitahu suamiku, lantas dia menghubungi kawannya di News Straits Times.  Kawannya menyuruhnya datang ke pejabatnya.  Aku dan suamiku pergi ke pejabatnya pada jam 12.20 tengahari.  Semasa dalam perjalanan ke NST, 6-8 kali Irfan menaliponku supaya datang mengambilnya kerana sesak nafas.  Suamiku menjawab supaya ia berehat dan jangan berlari-lari jika tidak mahu sesak nafas.  Aku memberitahu Irfan  supaya memberitahu  kepada guru kelasnya Cikgu Suriyati , jika Irfan betul-betul sakit, cikgu berkenaan akan menaliponku kelak dan aku akan pergi ke sekolahnya.
Sampai di pejabat NST,  kawan suamiku  membawa kami ke tempat pendaftaran dan memandangkan ia staf di situ, dapatlah kami  dengan potongan harga untuk staf.  Alhamdulillah.....
Balik sahaja dari sekolah kebangsaan, Irfan terus mengajakku pergi ke kedai ikan untuk membeli ikan keli  sebagai ikan peliharaan.   Aku menyuruhnya bersabar dahulu kerana Ikan  Keli di pasar kajang lagi cantik dan harganya pun lebih murah.  Sambil itu juga aku menambah, aku sanggup belikan ikan keli tersebut dengan syarat Irfan tidak lagi buat perangai ponteng  sekolah.   Irfan bersetuju dengan syarat-syaratku dan Alhamdulillah sehingga jam 3.15 petang ini, tiada lagi panggilan dari anakku irfan untuk memintaku mengambilnya di sekolah.....
 
 

Tiada ulasan: