Selasa, 23 Mei 2017

Rindu Seorang Ibu dan Anak

Sejak anakku masuk ke sekolah berasrama, terasa sedih dan kehilangan pula aku sejak ketiadaannya.   Pada minggu awal kemasukannya ke asrama, anakku juga sering menelefonku dan menyatakan rasa rindu dan kosong perasaannya.    Bila mendengar keluhan rasa anakku itu, hatiku menjadi sedih dan sayu dan air mataku jatuh berderai tanpa diminta.   Sesekali rasa kesal pun ada dalam hatiku, kerana menghantarnya ke sana dan kadang kala terfikir sama ada tindakan aku ini betul ataupun tidak.   Tetapi semangatku kuat semula setelah mendengar nasihat kawan-kawan yang menyatakan anak mereka pun begitu juga sebelum ini dan hidup anak mereka lebih teratur berbanding anak-anak yang hidup di luar yang sentiasa tidak lekang dengan telefon bimbit dan gejala rakan persekitaran.

Pada minggu kedua, anakku dibenarkan pulang dan ditemani oleh ayah kepada rakan karibnya yang juga sama-sama bersekolah di situ. Tujuan kedatangan ayahnya ke sana adalah semata-mata untuk mengajar anaknya dan anakku  untuk pulang sekiranya tiada bas di sediakan.  Mereka terpaksa mengambil bas dari Port Dickson dan menuju ke Stesen Komuter di Seremban.  Dari Stesen Komuter di Seremban mereka akan berhenti di Stesen Komuter di Seri Kembangan, Serdang yang berdekatan dengan rumahku.  Sampai di sana mereka akan mengambil bas untuk sampai ke rumah. Syukur Alhamdulillah kedua-dua mereka sudah pandai naik bas untuk pulang ke rumah.   

Tetapi alangkah sedihnya hatiku apabila melihat kesihatan anakku tidak begitu baik dan berat badannya jatuh mendadak.   Keesokan harinya aku membawanya ke Klinik Kita di Cheras Perdana.  Doktor memberikannya ubat batuk, antibiotik dan keperluan ubat yang lain.  Walaupun begitu, pada minggu berikutnya aku lihat anakku semakin kurus dan batuknya juga tidak hilang.

Aku membawa anakku ke Hospital Besar Kuala Lumpur kerana ia masih demam dan batuk-batuk.   Risau juga  di dalam hatiku sekiranya demam denggi yang dihadapi.  Doktor mengambil ujian darah dan alhamdulillah anakku bebas daripada demam denggi tetapi hanya virus dalam darah.   Walaupun begitu, penyakit anakku perlu juga diubati, apabila melihat badannya yang semakin kurus dan dia tidak ada selere makan.  Disamping itu, aku juga membawa anakku berjumpa Ustaz Rashid di BTHO sekiranya ada gangguan halus kerana menurut anakku ada kawan-kawannya yang terkena histeria dan ada yang terlihat sesuatu yang menakutkan.

Dua minggu berikutnya aku pergi ke Port Dickson kerana anakku tidak boleh pulang.   Sampai sahaja di sana,  dia demam dan aku menyuruhnya minum air.  Sebaik sahaja dia meneguk air yang kuberi, dia terus sahaja muntah.  Aku berhasrat untuk membawa anakku ke klinik, tetapi semua klinik yang aku pergi tidak beroperasi, berkemungkinan disebabkan hari Ahad.   

Lantas aku membawa anakku ke Hospital Port Dickson untuk dibuat pemeriksaan.   Sampai di sana sekali lagi darahnya diambil dan keputusan yang sama diperoleh iaitu tiada denggi hanya virus dalam darah.   Anakku mendapat cuti sakit dua hari dan aku membawanya pulang ke Kuala Lumpur setelah mendapat kelulusan daripada warden.

 Semasa anakku pulang buat kali ketiga, dia masih batuk-batuk dan masih tiada selera makan.  Aku membawa anakku ke Klinik Kita buat kali kedua.  Doktor memberinya cuti seminggu supaya dapat melihat perkembangannya dengan memberi gas apabila melihatkan anakku seolah-olah seperti penyakit asma.  Alhamdulillah akhirnya nampak kurang penyakitnya tetapi aku pula yang dijangkiti penyakitnya kerana menjaganya dalam tempoh tersebut.   Baru aku dapat merasai kesakitannya kerana kepalaku terasa berat dan aku tiada selera makan.  Segala makanan yang kujamah tawar hebeh, walaupun makanan yang dimakan amat sedap dilihat.   Aku diberi cuti sakit selama dua hari.  Alhamdulillah kami dua beranak sihat kembali.

Saban minggu aku akan pergi ke Port Dickson, sama ada untuk menghantarnya pulang ataupun untuk berjumpa dengannya jika minggu itu dibenarkan outing dalam tempoh 4 jam mulai jam 2.00 petang hingga 6.00 petang setiap hari Ahad.

Memandangkan suamiku tidak selalu dapat bersama-sama dengannyaku untuk menghantar atau berjumpa dengan anakku, aku terpaksa memandu sendiri dan berbekalkan waze untuk pergi ke sana.   Aku tidak pernah pergi ke PD sendirian, memandangkan anakku ada di sana, ku kuatkan semangatku dan ditemani anakku yang kedua, akhirnya sampai jua aku ke sana.  Memang tidak dinafikan, setiap kali perjalanan, ada saja jalan baru yang kutempuhi dan akhirnya setelah dua tiga kali aku membawa kereta sendiri, akhirnya aku sudah mahir untuk pergi ke PD dengan syarat melalui Lebuhraya Lekas kerana jalan tersebut tidak sesak.

Sekiranya aku akan menghantar anakku ke PD, aku akan pastikan membawa bekalan ataupun jika tidak sempat kami makan di  kedai makan di Port Dickson dan berehat di pantai sebelum jam 6.00 petang.  Lama kelamaan kulit mukaku semakin gelap kerana bahang udara panas pantai.  Kebetulan semasa aku membeli barangan dapur di Carefour Bandar Tun Hussein Onn,  aku membeli sebuah khemah yang boleh dimasuki 4 orang dewasa dengan harga promosi RM69.00.  Aku berharap dengan adanya khemah tersebut adalah sedikit ruang tertutup untuk aku merehatkan diri sementara menunggu masa untuk menghantar anakku ke sekolah.   Kadang kala jika tidak sempat aku hanya berehat dan membeli barang keperluannya di Tesco Port Dickson yang selesa jika aku ingin menunaikan solat dan makan-makan bermasa anak-anakku.


Tiada ulasan: