Jumaat, 11 Ogos 2017

Penyakit Kanser Payudara

Pada bulan Mei 2017, aku mendapat berita yang amat mengejutkan hati dan perasaan iaitu adik perempuanku telah disahkan mempunyai penyakit kanser payudara dan akan menjalani pembedahan seminggu lagi selepas berita tersebut dimaklumkan kepadaku.   Berita tersebut ku ketahui melalui ibuku yang dimaklumkan sendiri oleh adikku kepadanya.   Puas aku bertanya berulang kali kepada ibu supaya berita yang aku dengar itu betul atau sebaliknya.   

Apabila aku pulang ke rumah, aku terus menelefon adikku untuk mendapatkan pengesahan.  Apabila adikku memberitahuku berita itu benar,  air mataku mula menitik dan dadaku sebak.  Sedari tadi aku menahan perasaan supaya tidak dilihat oleh ibuku akan kesedihan yang aku rasakan.   Aku bertanyakan kepadanya sejak bila ia dapat mengesan penyakit kanser tersebut.  Adikku memberitahuku ia dapat mengesan penyakitnya di bulan November 2016 di KPJ Kajang.   Sejak ia mendapat tahu berita itu, ia terus pergi ke semua klinik yang berdekatan untuk mendapatkan kepastian dan kesemua klinik yang telah dia pergi memintanya untuk pergi ke hospital supaya mendapat rawatan dengan segera.

Kadang-kadang aku terfikir mengapa ketika ini penyakit kanser semakin menjadi-jadi yang bilangannya semakin bertambah walaupun ada yang tiada kerabat atau generasi terdahulu tiada langsung mempunyai penyakit kanser. Begitu juga dengan adikku, kerana sepanjang yang kami ketahui, tidak ada pun di kalangan kaum kerabat kami yang mempunyai penyakit kanser.   

Aku mula mengira jumlah staf yang mempunyai penyakit kanser di tempat kerjaku.   Sepanjang yang aku ketahui sudah lebih 10 orang yang telah meninggal dunia dan senarai staf yang masih aktif mempnyai penyakit tersebut pun sudah ramai.   Aduhhh... bala apakah yang Allah turunkan kepada manusia zaman kini...   Ya Allah, sesungguhnya kau lindungilah kami dan keluarga kami daripada penyakit yang amat berbahaya ini.

Kadang kala aku terfikir, mungkinkah kerana pemakanan zaman sekarang yang menggunakan pelbagai bahan kimia untuk tahan lama seperti nugget, sosej dsbnya.  Ataupun kerap memasak makanan yang menggunakan microwave.     

Aku mula memberitahu adikku pemakanan yang perlu dimakan dan serta yang tidak digalakkan untuk memakannya.   Antara makanan yang perlu dimakan ialah sayuran dan buah-buahan yang mempunyai warna seperti Brocolli, Kobis Bunga, Lobak Merah, Ubi Bit, Ubi Jepun dsbnya.   Antara yang perlu dielakkan ialah makanan seperti daging lembu atau daging merah.

Selepas adikku menjalani pembedahan untuk dibuang payudaranya di Hospital Putrajaya, ia dibenarkan keluar selepas dua hari dan saluran dan bekas air bisa dibenarkan bawa pulang ke rumah.  Saluran dan bekas tersebut tidak boleh dikeluarkan kerana air bisa masih keluar.    

Ketika aku melawatnya di rumah, aku lihat ia tidak dapat bergerak bebas kerana masih lagi dalam kesakitan dan aku dimaklumkan kelenjar di bawah ketiaknya juga dibuang semasa pembedahan tersebut.   Tangannya tidak boleh diangkat tinggi disebabkan pembedahan di kelenjar.  Sekali lagi aku berasa gerun dan terharu apabila melihat penderitaannya yang dialami.

Tiada ulasan: