Jumaat, 27 Jun 2014

Mesyuarat Majlis Bersama Jabatan, DBP di Kelantan (1)

19/6/2014 (Rabu)
Mesyuarat Bersama Jabatan, Dewan Bahasa dan Pustaka telah dirancang untuk dibuat di Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur.  Memandangkan perjalanannya agak jauh dan untuk menjimatkan kos, semua ahli mesyuarat menaiki bas korporat DBP.  Ada juga beberapa ahli mesyuarat MBJ yang berhalangan untuk pergi.  Memandangkan ada beberapa lagi kekosongan tempat kerana ada yang terpaksa membatalkan dalam waktu yang terakhir, Ketua Bahagian PSM memberi cadangan supaya Program Audit Personel bolehlah dibuat dan beberapa staf yang terlibat boleh ikut serta.  Antara Audit Personel yang dibuat ialah membuat pelupusan fail bagi fail tutup yang telah berusia melebihi 5 tahun.
Bas korporat akan bertolak jam 8.00 pagi pada 19/6/2014 dan dijangka pulang pada 21/6/2014.  Oleh kerana suamiku juga terlibat dalam Mesyuarat Bersama Jabatan dan aku pun terlibat dalam Program Audit Personel, terpaksalah anak-anakku bercuti sekolah selama 3 hari, dan aku telah menyediakan surat keizinan untuk memberitahu guru kelasnya kerana mereka terpaksa bercuti untuk mengikuti kami ke sana.
Tepat jam 9.00 pagi bas mula bergerak meninggalkan bangunan DBP Kuala Lumpur.  Tuan Syed Mashoor telah diberi amanah untuk membaca doa selamat agar perjalanan kami diberkati Allah dan selamat dalam perjalanan.  Dalam perjalanan, bas berhenti di hentian sebelah di Bekam kerana ada yang ingin membuang air. Kemudian kami meneruskan perjalanan dan singgah di R & R Tapah untuk makan tengahari. Bagi yang belum bersarapan, kawan-kawanku terus mengambil makanan berat tetapi ada yang berhajat untuk makan tengahari di R & R, Sungai Perak, Kuala Kangsar. Pukul 12.00 tengahari kami semua meneruskan perjalanan. 


Staf BPSM 
Bersama praktikal Nabihah
Tepat jam 1.00 petang, kami sudah sampai di R& R Sungai Perak, Kuala Kangsar.  Kami diberi arahan untuk makan dan bersembahyang jika sesiapa yang hendak sembahyang dzohor.   Ikan Patin masak tempoyak merupakan ikan yang agak digemari di situ.  Teringin pula aku untuk menjamahnya, dan aku pun mengambil ikan patin yang berharga RM6.00 seketul.  Jam 2.00 petang kami meneruskan perjalanan.  Bas terus masuk ke laluan Kuala Kangsar untuk mengambil laluan melalui Tasik Banding untuk pergi ke Kota Bharu, Kelantan.  


Pemandangan Tasik Banding


Jalannya agak berliku-liku, sekejap naik bukit dan sekejap lagi turun bukit.  Sekali lagi bas berhenti di sebuah masjid kerana ada beberapa penumpang yang hendak membuang air.  Biasalah itu kata salah seorang daripada kami, kerana antara kami ada penghidap kencing manis, darah tinggi dsbnya, lagipun  usia kami dalam bas semuanya sudah berumur. Itu yang kadang kala mencari bahan lucu bila ada penumpang yang menyuruh pemandu berhenti untuk membuang air kecil.kesekian kalinya.  Sebelah masjid itu ada kedai makan yang menjual air herba dan akar kayu yang terkenal untuk pelbagai penyakit.
Aku menyarankan agar suamiku mengambil air herba tersebut baik untuk penghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi..  Apabila aku memberitahu pada suamiku, ramai pun yang berminat untuk mencubanya. Ada air herba untuk darah tinggi, mengurangkan kolesterol dll.  Aku juga mengambil air herba untuk menghilangkan letih-letih dalam badan.


Herba Mata  Pelanduk


Ikan Pekasam



Akar kayu kacip fatimah

Setelah selesai semuanya, kami meneruskan perjalanan.  Jam sudah menunjukkan pukul 5.30 petang. Perjalanan kami masih jauh lagi.  Bas meneruskan perjalanan dan jalan yang kami lalui masih lagi berliku-liku dan menuruni bukit yang disekelilingnya ada gaung yang dalam.  Hatiku tidak merasa tenang melihatkan jalan yang berliku-liku dan menuruni bukit.  Dalam hati aku asyik membaca doa naik kenderaan dan surah-surah quran yang aku tahu agar perjalanan kami selamat. Amin....



Kelihatan hutan Belum di kiri kanan jalan yang kami lalui.  Aku terlihat ada tempat papan tanda untuk beriadah.  Mungkin ada air terjun agaknya.  Bas meluncur lagu dan kadang kala berselisih dengan lori dan bas.  Sekali lagi kami berhenti di hentian Banjaran Titiwangsa.  Memandangkan aku belum bersembahyang lagi, aku dan keluargaku terus pergi ke masjid untuk sembahyang jamak. Sempat juga aku dan anak-anak bergambar yang berlatarkan Banjaran Titiwangsa.


Bergambar dengan Idzham

Idzham dan Irfan
Masam muka Irfan sebab merajuk

Perjalanan yang sudah lebih 7 jam menyebabkan kami semua lebih banyak memandang kawasan pemandangan di kiri dan kanan jalan.  Jalan yang kami lalui masih lagi dalam keadaan berliku-liku. Dari papan tanda yang tertera jalan menuju ke Jeli, kemudian Tanah Merah menandakan kami sudahpun memasuki kawatan negeri Kelantan.  Terasa sakit pinggang dan badanku kerana terlalu lama duduk di dalam bas. Alhamdulillah tepat jam 8.00 malam kami pun sampai di Hotel Perdana, Kota Bharu, Kelantan.  Sampai di sana, kelihatan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Encik Kamarul Zaman Shaharuddin sudah pun sampai lebih awal dari kami.  Mana tidaknya dia naik kapal terbang hanya mengambil masa 45 minit sahaja. Sampai sahaja di dalam bilik, terasa lapang dan ingin baring sahaja.  Tetapi kami terpaksa keluar mengisi perut yang terasa sudah lapar.


Hotel Perdana