Rabu, 11 Disember 2013

Akukah Yang Bersalah?

Tiba-tiba aku teringat tentang kisah Hang Tuah iaitu seorang pahlawan Melayu yang tersohor di negeri Melaka. Hang Tuah telah hidup semasa zaman pemerintahan Sultan Mansor Shah dalam abad yang ke 15.  Beliau seorang yang berani dan begitu taat setia terhadap rajanya sehinggakan beliau sanggup membunuh kawan baiknya sedari kecil iaitu Hang Jebat disebabkan Hang Jebat telah derhaka kepada Sultan. Hang Jebat  menderhaka kepada sultan adalah kerana membantah tindakan sultan yang telah menjatuhkan hukuman bunuh ke atas Hang Tuah tanpa usul periksa atas alasan telah membuat hubungan sulit dengan gundik raja, walhal gundik itu adalah kekasih hatinya yang telah ditangkap oleh Pembesar-pembesar Raja yang tidak senang dan cemburu terhadap Hang Tuah kerana amat disayangi raja. Pembesar telah menggunakan tipu helah dan muslihat untuk menjerat kekasih Hang Tuah dan telah menyerahkannya kepada sultan untuk dijadikan gundik raja. 

Satu lagi pengorbanan besar Hang Tuah dan kesetian tidak berbelah terhadap Sultan dapat dilihat ketika Hang Tuah sanggup menyerahkan Tun Teja, seorang puteri raja negeri Pahang yang jelita kepada Sultan Melaka.  Hang Tuah telah melarikan Tun Teja dari istana negeri Pahang.  Apabila aku melihat kembali filem Hang Tuah yang dibintangi oleh P. Ramlee, menitik juga air mataku kerana Hang Tuah telah mengorbankan cintanya demi sultannya dan lagu yang didendangkan itu bertajuk Berkorban Apa Saja yang begitu syahdu dan menyentuh perasaan.  Adakah anda sanggup mengorbankan cinta anda seperti Hang Tuah?  Satu dialog akhir yang membuatkan aku begitu terharu ialah Hang Tuah telah berkata kepada dirinya sendiri yang sekali lagi menyebabkan air mataku jatuh berderai iaitu "Akukah yang bersalah atau Hang Jebat kah yang benar?" semasa orang kampung berarak membawa mayat Hang Jebat keliling kampung.....






Tiada ulasan: