Selasa, 5 Februari 2013

Bercuti di Perlis


Pada petang Khamis, 17 Januari 2013, sedang aku leka membuat tugasanku di meja, tiba-tiba kelihatan suamiku sedang berdiri di kaunter ruang legar pejabatku. Beliau menggamit tangannya ke arahku, lantas aku pun bangun dan terus menuju ke arahnya. Suamiku memaklumkan yang ia ditugaskan untuk menghadiri Mesyuarat Sukan Badan-badan Berkanun di Kangar, Perlis pada hari Selasa iaitu 22 Januari 2013. Beliau juga memberitahu kepadaku, jika hendak mengikutinya ke sana, bolehlah aku mengambil cuti rehat kerana mesyuaratnya akan diadakankan pada hari Selasa. Sekiranya aku tidak mengikutnya, beliau menyatakan ia terpaksa menaiki bas dan aku dapat merasakan betapa sukarnya jika tiada kenderaan sendiri. Kerana kasih dan sayang kepadanya, suka atau tidak terpaksalah aku mengambil cuti rehat.
 
Memang aku suka berjalan ke sebelah Utara, kerana aku suka jalan-jalan sambil merasai makanan orang Utara. Memandangkan perjalanann ke sana akan  mengambil masa  dua hari hari iaitu hari  Isnin dan Selasa, terpaksalah aku mengambil cuti rehat selama dua hari.  Begitu juga anakku terpaksa juga mengambil cuti.

Selepas pulang dari pejabat, aku mengambil anak-anakku di sekolah. Walaupun dalam keadaan letih tugas rutinku seperti biasa akan menyediakan makan malam untuk anak-anakku.  Selesai kami makan malam, sedikit demi sedikit aku mula mengumpulkan pakaian anak-anakku dan aku letakkan di satu tempat. Memang kebiasaanku akan berbuat demikian, kerana aku akan memastikan cukup untuk pakaian untuk tidur, pakaian untuk balik dan juga pakaian semasa berada di sana. Apabila semuanya telah cukup, aku memasukkan semuanya ke dalam beg pakaian.  Malam itu, sempat juga aku membasuh pakaian kotor dan menyidainya agar pagi esok tidak kelam kabut.

Pagi itu sempat aku membuat sandwich tuna untuk sarapan pagi. Tepat jam 10.00 pagi kami pun bertolak. Selebihnya aku membawanya sebagai bekalan untuk dimakan semasa dalam perjalanan nanti.
 


Suamiku memberitahuku sekiranya  sampai ke Butterworth  sekitar jam 1.00 petang boleh juga makan tengah hari berlaukkan Ikan Duri Masak Gulai Kari di kedai makan yang berada betul-betul di tengah bendang. Aku dapat membayangkan  kenikmatan makan tengahari di tengah bendang.  Malangnya kami tidak sempat sampai ke sana, kerana suamiku terlalu mengantuk untuk meneruskan perjalanan,  dan ia telah berehat di hentian sebelah di Tapah lselama ebih kurang satu jam. Sementara menunggunya berehat, aku dan anak-anak membeli buah jambu dan jagung rebus untuk menghilangkan rasa bosan kerana menunggu.

Kami sampai di Butterworth lebih kurang jam 3.00 petang. Suamiku memberhentikan kereta dan membawa kami ke sebuah kedai makan.  Aku lihat kebanyakan lauknya telah habis dan gulai kuah  pun hanya tinggal bekas sahaja.  Dengan hampa kami meneruskan perjalanan.  Kami singgah di sebuah kedai makan, tapi kerana tiada pilihan kami  hanya memakan mee rebus sahaja.
 
Selepas itu kami terpaksa meneruskan perjalanan menuju ke arah bandar Kangar, Perlis. Sampai sahaja di bandar Kangar, kami terus mencari lokasi hotel Sri Malaysia. Akhirnya sampai juga kami di hotel Sri Malaysia tepat jam 6.00 petang. Anakku sempat memberitahuku kolam renangnya besar yang terletak bersebelah dengan lobi. Suamiku pun bertanya pukul berapa kolam akan ditutup dan petugas kaunter memaklumkan jam 7.00 malam.  Anakku mengatakan yang mereka hendak juga berenang di kolam kerana masih ada masa lagi satu jam. Cepat-cepat kami mencari bilik dan anakku terus menukar pakaian untuk pergi ke kolam renang.




 Setiap kali anakku mandi di kolam renang, hatiku agak cuak untuk membiarkan mereka bersendirian. Orang kata malang tidak berbau, walau macam mana penat sekalipun aku akan tetap menunggu mereka sehingga mereka puas mandi di kolam. Selepas sembahyang maghrib, kami keluar ke pekan Kangar. Tidak banyak kedai makan yang kami lihat. Sepanjang kami mencari kedai makan, tiba-tiba terlihat gerai yang menjual sate. Suami dan anak-anakku suka makan sate. Kami pun singgah sekejap untuk membeli sate. Tiba-tiba mataku melihat tanda harga sate tersebut. Sebatang sate hanya berharga 20 sen sebatang. Lantas aku pun membeli 20 batang sate ayam dan 20 batang sate daging yang berharga cuma RM 8.00 sahaja. Selepas itu kami berhenti di sebuah restoran masakan Siam. Kami pun singgah makan di restoran itu.
 
 

 Memandangkan mesyuarat yang akan di hadiri oleh suamiku jam10.00 pagi di Arau, kami bersarapan lebih awal agar suamiku tidak lewat ke sana. Aku berhasrat ingin berehat  di hotel  sahaja sambil menemani anakku mandi di kolam sebelum kami check out nanti.
 
 




 Selepas minum di dalam dewan, suamiku pergi ke luar pula tempat  yang dibenarkan untuk menghisap rokok. Aku dan anak-anak pun ikut sekali. Di luar lagi seronok, ada pekerja sedang masak kuih jemput-jemput lagi...
 
 
 
 
 
Selepas suamiku pergi untuk menghadiri mesyuarat di Arau, anak-anakku meminta izin untuk mandi di kolam sekali lagi sebelum pulang.  Memandangkan banyak masa lagi, aku mengizinkan mereka mandi.  Sementara itu aku duduk di tepi kolam sambil berehat dan  memantau pergerakan anak-anakku.  Tepat jam 11.30 pagi, aku menyuruh anak-anakku naik dan balik ke bilik hotel  bersiap-siap untuk pulang.  Jam menunjukkan pukul 12.30 tengah hari, tetapi suamiku belum lagi muncul.  Pihak hotel telah menghubungiku bila kami akan check out.  Aku menyuruhnya menghubungi suamiku.  Selepas itu aku pun menghubungi suamiku, dan beliau memaklumkan kami dibenarkan untuk check out jam 2.00 petang, kerana semasa kami check in pun sudah lewat.
 
 Tepat jam 2.00 petang, kami sekeluarga pun check out.  Memandangkan waktu itu sepatutnya waktu makan tengah hari, maka suamiku mengajak kami ke gerai makan di Jalan Warisan.   Ia mengatakan mungkin sedap masakannya, kerana ramai pelanggan yang singgah ke kedai makan tersebut.  Setelah selesai makan, kami pun pulang menuju ke Butterworth kerana suamiku teringin untuk memakan kuih udang di Sungai Dua, tempat beliau sering makan semasa kecil dahulu.  Seperti biasa anak-anakku menunjukkan reaksi sambil lewa kerana perut mereka masih kenyang lagi.
 

Kuih Udang
 
 

Makan kuih udang macam kena paksa
 
Selesai makan kuih udang, kami meneruskan perjalanan menuju ke Bandar Perda,  Butterworth kerana suamiku telah menghubungi sahabatnya bernama Zubir kerana tayar kereta kami berbunyi agak kuat.   Sampai sahaja di Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara, sempat juga aku singgah ke dalam pejabatnya untuk bersembahyang bersama-sama anak-anakku.  Suamiku dan Zubir pergi ke bengkel kereta di sekitar kawasan bandar Perda.  Sambil menunggu mereka sempat juga aku dan anak-anakku bergambar sebagai kenang-kenangan.
 
 
 Kemudian suamiku dan zubir mengambil kami dan membawa ke bengkel kereta.  Tetapi sampai sahaja di sana, kereta kami telah selesai dibaiki.  Memandangkan hari hampir gelap, suamiku bercadangkan untuk meneruskan perjalanan.  Sempat juga kami makan di hentian Tapah untuk makan malam.  Sampai sahaja di rumah jam menunjukkan jam 12.30 malam. 

Tiada ulasan: