Rabu, 27 Februari 2013

Adikku Kemalangan di Jalan Raya

Pada 26 Februari 2013 tepat jam 4.00 petang, aku menerima panggilan telefon daripada adikku Zainuri yang memaklumkan adikku Zaini telah kemalangan di jalan raya.  Terus aku bertanya khabar bagaimana perlanggaran itu berlaku dan apa jenis kenderaan yang telah terlibat.  Beliau sendiri pun tidak pasti kerana belum lagi berjumpa dengan adikku Zaini.  Ia juga memaklumkan, adikku sekrang berada di Hospital Putrajaya. 
Badanku terasa menggigil.  Perasaanku berceramuk kerana aku baru sahaja kehilangan adikku yang bernama Adnan pada 26 November 2012 yang lalu kerana penyakit kencing manis.   "Ya Allah, jangan kau beratkan bebananku yang aku tidak mampu untuk memikulnya....Selamatkan adikku Zaini kerana aku belum lagi kuat untuk menerima sebarang musibah lagi sekiranyanya berlaku perkara yang tidak diingini".  Dalam hati aku membaca surah Al-Fatihah berkali-kali  dan aku sedekahkannya untuk adikku Zaini.
Aku menghubungi suamiku dan memaklumkan perkara yang telah berlaku.  Aku ingin mengajaknya pergi ke hospital Putrajaya.  Apabila aku melihat keadaan langit seolah-olah hendak hujan sebagaimana rasa dalam hatiku.  Sepanjang dalam perjalanan, hujan telah pun turun dengan lebatnya.  Kenderaan berjalan dengan perlahan kerana pandangan tidak berapa jelas disebabkan hujan yang lebat.
 

Isnin, 25 Februari 2013

Majlis Hari Jadi

Sekitar bulan Januari  2013, anakku Irfan telah bertanya kepadaku, bila hendak buat majlis hari jadi untuknya dan abangnya Idzham. Sempat juga Irfan  berkata kepadaku, aku tidak pernah buat majlis hari jadinya.  Sebelum ini aku pernah juga buat majlis hari jadi semasa Irfan berumur dua tahun dan Idzham berumur 4 tahun.   Selepas itu aku tidak pernah lagi buat majlis hari jadi mereka memandangkan aku sibuk dengan urusan yang lain.
 
Kedua-dua anakku dilahirkan pada tarikh yang sama iaitu 31 Januari.  Idzham dilahirkan pada tahun 2001 dan Irfan pula dilahirkan pada tahun 2003.  Walaupun kedua-duanya dilahirkan pada  tarikh yang sama, tetapi kedua-duanya mempunyai karektor yang berbeza. Tetapi yang pasti sama,  kedua-duanya begitu manja denganku.
 
Kebetulan pula pada tahun ini, bonus yang kedua dibayar pada bulan Januari, maka aku pun bersetuju untuk membuat majlis hari jadi mereka.   Aku pun membuat kad jemputan hari jadi anak-anakku untuk mereka menjemput kawan-kawan mereka nanti.  Tarikh yang aku dicadangkan ialah 2 Februari 2013 kerana pada hari itu jatuh pada hari Sabtu.  Kebetulan pula 1 Februari cuti Hari Wilayah.  Aku menjemput adik-beradikku untuk hadir sama dalam majlis tersebut.  Semasa aku pulang bersama suami, aku memaklumkan akan mengadakan majlis hari jadi anak-anakku pada tarikh 2 Febrruari 2013 dan sebelah petang pulal akan mengadakan  tahlil bersama adik-beradikku.  Tiba-tiba suamiku berkata pada 1 Februari 2013, beliau akan pergi ke Tasik Banding, Perak bersama-sama  rakan-rakan sepejabatnya untuk program memancing ikan dan melawat perkampungan Orang Asli di sana.  Geram betul apabila aku mendengar berita itu.   Aku berasa seolah-olah , ia lebih seronok bersama rakan-rakan daripada kami sekeluarga.  Suamiku menyarankan supaya ditangguhkan dahulu kepada tarikh yang lain, tetapi aku mengatakan  kepadanya akan tetap juga untuk mengadakan majlis tersebut pada tarikh itu walaupun dia tiada ketika itu.

Beberapa hari selepas itu, setelah aku fikirkan, akhirnya aku merancang untuk membuat majlis tersebut pada 9 Februari 2013 iaitu jatuh pada hari Sabtu.  Aku mula membeli barangan untuk dibuat sebagai door gift.  Door gift itu akan diberi kepada  kawan-kawan anak-anakku nanti.  Kebetulan pula disuatu petang di hujung minggu, suamiku tidak pergi ke mana-mana, lantas aku mengajak suamiku untuk membeli barangan keperluan dalam majlis itu.  Suamiku membawa aku ke Jalan Chow Kit, kedai borong menjual barang mainan anak-anak.  Dapat juga aku membeli sedikit sebanyak barangan di situ.   Di samping itu, sempat juga aku keluar  semasa bekerja di waktu rehat ke kedai borong di Pasar Pudu membeli coklat, keropok dll.  Di hujung minggu yang lain, aku mengisi barangan tersebut ke dalam plastik dan diikat dengan reben berwarna ungu.  Plastik itu aku simpan sejak  majlis mereka dahulu. Masih elok lagi untuk digunakan.  Memandangkan plastik itu hanya mempunyai 20 keping sahaja, terpaksalah aku membeli beg kecil untuk menambahkan lagi jumlahnya agar semua tetamu kecilku dapat memilikinya.


 
 



 
 

 Nasib baik aku teringatkan pada majlis tersebut, kek untuk hari jadi perlu ada.  Takut tak sempat untuk mencarinya, aku telah menempah kek hari jadi dengan kawan sepejabatku yang biasa mengambil tempahan.   Aku berkata kepadanya kek tersebut dibuat dalam anggaran seberat 1 kg sahaja.  Pada pagi Jummat bertarikh 8 Februari 2013, kawanku pun menghantar kek yang telah  aku tempah itu.  "Hmmm cantik juga kek ini untuk majlis anakku nanti"  berkata dalam hatiku.


Petang itu selepas mengambil anak-anakku dari sekolah, aku terus bersilat di dapur  menyediakan juadah untuk majlis keesokan harinya.  Malam itu, aku masak rendang daging, dan kuah spageti.  Semasa aku memasak di dapur, aku meminta tolong kepada kedua-dua anak-anakku untuk mengemas rumah.  Selepas kedua-dua menu itu selesai dimasak, aku memasak nasi impit pula.  Malam itu juga sempat  aku membuat agar-agar kosong untuk dibuat sebagai pencuci mulut. Semasa aku memasak di dapur, mesin basuh juga sedang menjalankan tugasnya mencuci pakaian yang kotor.  Apabila semuanya selesai, jam menunjukkan pukul 12.00 malam.   Aku keletihan dan tugas lain sedang menanti untuk keesokan harinya.
 
Keesokan paginya, aku bangun lebih awal daripada biasa.  Selepas mandi, aku menyidai baju yang telah dibasuh malam tadi.  Kemudian aku merebus spageti.  Pagi itu aku membuat kuah lontong.  Apabila kuah lontong telah selesai dimasak, aku  menyediakan bahan untuk membuat mee hoon goreng pula.   Jam menunjukkan pukul 12.30 pagi.  Rumah aku pula tidak sempat untuk dikemas rapi.  Mulut aku becok meminta pertolongan anak-anakku. 
 
Tiba-tiba terdengar suara orang memberi salam.  Rupa-rupanya anak adikku dari Kota Warisan, Sepang telah pun sampai.  Nasib baik adik iparku menolong sedikit sebanyak untuk menyusun makanan di atas meja.  Tepat jam 2.00 petang seorang demi seorang kawan Idzham dan Irfan tiba.
 











 
 
 
 
Ada seorang rakan Irfan yang bernama Mohd Shahmi.  Mulutnya petah berbicara tentang pekerjaan ayahnya bila ditanya.  Menurut Shahmi, ayahnya seorang Ketua Keselamatan Negara dan selalu pergi out station menjalankan tugas-tugas khas.   Majlis berakhir jam 4.00 petang.  Aku pernah juga melihat ayahnya semasa minum di kedai mamak  Taman Impian.  Ayahnya pernah memberi ceramah tentang rahsia dokumen rasmi di Dewan Bahasa dan Pustaka 2-3 yang lepas.
 
Seorang lagi rakan Irfan yang menarik perhatianku ialah seorang budak perempuan yang dipanggil Puteri sahaja.  Menurut Irfan, Puteri adalah salah seorang yang meminatinya...Hmmm perasannya anakku Irfan...Puteri tiba jam 3.00 petang.  Aku menyuruhnya mengambil makanan, tetapi dia memaklumkan masih kenyang lagi.  Puas juga aku menyuruhnya makan, tetapi sampai habis majlis ia tidak menjamah sebarang makananku, cuma sepotong kek sahaja yang dimakannya. 
 
Jam menunjukkan pukul 4 petang.  Seorang demi seorang kawan-kawan Idzham dan Irfan minta diri untuk pulang.   Adik-adikku yang lain juga hadir kecuali kakakku di Kota Warisan dan adikku di Seremban.
 
Selamat sudah majlis hari jadi anak-anakku, aku doakan semoga anak-anakku bertambah matang dalam menjalani kehidupan dan menjadi anak yang soleh...Amin.
 

Selasa, 5 Februari 2013

Bercuti di Perlis


Pada petang Khamis, 17 Januari 2013, sedang aku leka membuat tugasanku di meja, tiba-tiba kelihatan suamiku sedang berdiri di kaunter ruang legar pejabatku. Beliau menggamit tangannya ke arahku, lantas aku pun bangun dan terus menuju ke arahnya. Suamiku memaklumkan yang ia ditugaskan untuk menghadiri Mesyuarat Sukan Badan-badan Berkanun di Kangar, Perlis pada hari Selasa iaitu 22 Januari 2013. Beliau juga memberitahu kepadaku, jika hendak mengikutinya ke sana, bolehlah aku mengambil cuti rehat kerana mesyuaratnya akan diadakankan pada hari Selasa. Sekiranya aku tidak mengikutnya, beliau menyatakan ia terpaksa menaiki bas dan aku dapat merasakan betapa sukarnya jika tiada kenderaan sendiri. Kerana kasih dan sayang kepadanya, suka atau tidak terpaksalah aku mengambil cuti rehat.
 
Memang aku suka berjalan ke sebelah Utara, kerana aku suka jalan-jalan sambil merasai makanan orang Utara. Memandangkan perjalanann ke sana akan  mengambil masa  dua hari hari iaitu hari  Isnin dan Selasa, terpaksalah aku mengambil cuti rehat selama dua hari.  Begitu juga anakku terpaksa juga mengambil cuti.

Selepas pulang dari pejabat, aku mengambil anak-anakku di sekolah. Walaupun dalam keadaan letih tugas rutinku seperti biasa akan menyediakan makan malam untuk anak-anakku.  Selesai kami makan malam, sedikit demi sedikit aku mula mengumpulkan pakaian anak-anakku dan aku letakkan di satu tempat. Memang kebiasaanku akan berbuat demikian, kerana aku akan memastikan cukup untuk pakaian untuk tidur, pakaian untuk balik dan juga pakaian semasa berada di sana. Apabila semuanya telah cukup, aku memasukkan semuanya ke dalam beg pakaian.  Malam itu, sempat juga aku membasuh pakaian kotor dan menyidainya agar pagi esok tidak kelam kabut.

Pagi itu sempat aku membuat sandwich tuna untuk sarapan pagi. Tepat jam 10.00 pagi kami pun bertolak. Selebihnya aku membawanya sebagai bekalan untuk dimakan semasa dalam perjalanan nanti.
 


Suamiku memberitahuku sekiranya  sampai ke Butterworth  sekitar jam 1.00 petang boleh juga makan tengah hari berlaukkan Ikan Duri Masak Gulai Kari di kedai makan yang berada betul-betul di tengah bendang. Aku dapat membayangkan  kenikmatan makan tengahari di tengah bendang.  Malangnya kami tidak sempat sampai ke sana, kerana suamiku terlalu mengantuk untuk meneruskan perjalanan,  dan ia telah berehat di hentian sebelah di Tapah lselama ebih kurang satu jam. Sementara menunggunya berehat, aku dan anak-anak membeli buah jambu dan jagung rebus untuk menghilangkan rasa bosan kerana menunggu.

Kami sampai di Butterworth lebih kurang jam 3.00 petang. Suamiku memberhentikan kereta dan membawa kami ke sebuah kedai makan.  Aku lihat kebanyakan lauknya telah habis dan gulai kuah  pun hanya tinggal bekas sahaja.  Dengan hampa kami meneruskan perjalanan.  Kami singgah di sebuah kedai makan, tapi kerana tiada pilihan kami  hanya memakan mee rebus sahaja.
 
Selepas itu kami terpaksa meneruskan perjalanan menuju ke arah bandar Kangar, Perlis. Sampai sahaja di bandar Kangar, kami terus mencari lokasi hotel Sri Malaysia. Akhirnya sampai juga kami di hotel Sri Malaysia tepat jam 6.00 petang. Anakku sempat memberitahuku kolam renangnya besar yang terletak bersebelah dengan lobi. Suamiku pun bertanya pukul berapa kolam akan ditutup dan petugas kaunter memaklumkan jam 7.00 malam.  Anakku mengatakan yang mereka hendak juga berenang di kolam kerana masih ada masa lagi satu jam. Cepat-cepat kami mencari bilik dan anakku terus menukar pakaian untuk pergi ke kolam renang.




 Setiap kali anakku mandi di kolam renang, hatiku agak cuak untuk membiarkan mereka bersendirian. Orang kata malang tidak berbau, walau macam mana penat sekalipun aku akan tetap menunggu mereka sehingga mereka puas mandi di kolam. Selepas sembahyang maghrib, kami keluar ke pekan Kangar. Tidak banyak kedai makan yang kami lihat. Sepanjang kami mencari kedai makan, tiba-tiba terlihat gerai yang menjual sate. Suami dan anak-anakku suka makan sate. Kami pun singgah sekejap untuk membeli sate. Tiba-tiba mataku melihat tanda harga sate tersebut. Sebatang sate hanya berharga 20 sen sebatang. Lantas aku pun membeli 20 batang sate ayam dan 20 batang sate daging yang berharga cuma RM 8.00 sahaja. Selepas itu kami berhenti di sebuah restoran masakan Siam. Kami pun singgah makan di restoran itu.
 
 

 Memandangkan mesyuarat yang akan di hadiri oleh suamiku jam10.00 pagi di Arau, kami bersarapan lebih awal agar suamiku tidak lewat ke sana. Aku berhasrat ingin berehat  di hotel  sahaja sambil menemani anakku mandi di kolam sebelum kami check out nanti.
 
 




 Selepas minum di dalam dewan, suamiku pergi ke luar pula tempat  yang dibenarkan untuk menghisap rokok. Aku dan anak-anak pun ikut sekali. Di luar lagi seronok, ada pekerja sedang masak kuih jemput-jemput lagi...
 
 
 
 
 
Selepas suamiku pergi untuk menghadiri mesyuarat di Arau, anak-anakku meminta izin untuk mandi di kolam sekali lagi sebelum pulang.  Memandangkan banyak masa lagi, aku mengizinkan mereka mandi.  Sementara itu aku duduk di tepi kolam sambil berehat dan  memantau pergerakan anak-anakku.  Tepat jam 11.30 pagi, aku menyuruh anak-anakku naik dan balik ke bilik hotel  bersiap-siap untuk pulang.  Jam menunjukkan pukul 12.30 tengah hari, tetapi suamiku belum lagi muncul.  Pihak hotel telah menghubungiku bila kami akan check out.  Aku menyuruhnya menghubungi suamiku.  Selepas itu aku pun menghubungi suamiku, dan beliau memaklumkan kami dibenarkan untuk check out jam 2.00 petang, kerana semasa kami check in pun sudah lewat.
 
 Tepat jam 2.00 petang, kami sekeluarga pun check out.  Memandangkan waktu itu sepatutnya waktu makan tengah hari, maka suamiku mengajak kami ke gerai makan di Jalan Warisan.   Ia mengatakan mungkin sedap masakannya, kerana ramai pelanggan yang singgah ke kedai makan tersebut.  Setelah selesai makan, kami pun pulang menuju ke Butterworth kerana suamiku teringin untuk memakan kuih udang di Sungai Dua, tempat beliau sering makan semasa kecil dahulu.  Seperti biasa anak-anakku menunjukkan reaksi sambil lewa kerana perut mereka masih kenyang lagi.
 

Kuih Udang
 
 

Makan kuih udang macam kena paksa
 
Selesai makan kuih udang, kami meneruskan perjalanan menuju ke Bandar Perda,  Butterworth kerana suamiku telah menghubungi sahabatnya bernama Zubir kerana tayar kereta kami berbunyi agak kuat.   Sampai sahaja di Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara, sempat juga aku singgah ke dalam pejabatnya untuk bersembahyang bersama-sama anak-anakku.  Suamiku dan Zubir pergi ke bengkel kereta di sekitar kawasan bandar Perda.  Sambil menunggu mereka sempat juga aku dan anak-anakku bergambar sebagai kenang-kenangan.
 
 
 Kemudian suamiku dan zubir mengambil kami dan membawa ke bengkel kereta.  Tetapi sampai sahaja di sana, kereta kami telah selesai dibaiki.  Memandangkan hari hampir gelap, suamiku bercadangkan untuk meneruskan perjalanan.  Sempat juga kami makan di hentian Tapah untuk makan malam.  Sampai sahaja di rumah jam menunjukkan jam 12.30 malam. 

Bermulanya Diari Hidupku...


Setelah banyak blog yang telah aku tulis sebelum ini, tiba-tiba terdetik di hatiku untuk menulis diari hidupku. Sebelum ini ada juga kisah hidupku, tetapi ia bermula dari peringkat kanak-kanak dan untuk menyiapkan sehingga aku dewasa banyak lagi ruang yang perlu diisi. Semuga blog diari hidupku dapat memberi rujukan kepada diriku di masa akan datang.....




Gambar diambil semasa pergi ke DBP Wilayah Utara