Isnin, 29 Julai 2013

Tabita Skin Care Untuk Menghaluskan Wajah

Sebelum bulan Ramadan, aku  telah pergi ke rumah kakakku di Kota Warisan, Sepang.    Kebetulan ibuku pun ada di sana.   Sampai sahaja di sana, aku lihat kawan-kawan kakakku di rumahnya.  Mereka sedang belajar membuat karipap pusing.   Guru yang mengajarnya pun di kalangan mereka juga.  Sempat juga aku belajar teknik untuk membuat karipap pusing.  Pulut disalut dengan serunding juga ada dibuat.  Selepas itu, kakakku mengajar kawan-kawannya untuk membuat Kuih Tat.   Kakakku memang pakar membuat kuih Tart.   Setiap tahun kakakku akan membuat kuih Tart untuk dijual kepada pelanggannya yang telah biasa merasai kuih tartnya. 
Memandangkan hari hampir gelap, malas pula aku  memandu kereta untuk pulang ke rumah.  Mataku tidaklah rabun sangat tetapi  agak silau jika ada kereta bertentangan sewaktu memandu di waktu malam.  Bermacam-macam warna akan terlihat di sisi cermin mataku, selepas kereta itu berlalu pergi.  Aku mengajak anak-anakku tidur di rumah kakakku, kerana suamiku pula tiada di rumah.  Semasa aku tumpang mandi di bilik air dalam bilik tidurnya, aku terlihat kakakku menggunakan produk Tabita Skin Care.  Muka kakakku juga kelihatan cerah dan halus.  Tiba-tiba aku teringat seorang rakanku juga memakai produk yang sama.  Beliau seorang jejaka yang masih bujang tetapi amat menjaga tentang penjagaan mukanya.  Mukanya amat bersih dan berseri sekali.




Kakakku memaklumkan kepadaku, yang dia sudah menggunakan produk itu hampir empat bulan.   Memandangkan mukaku juga mudah gelap walaupun tidak pergi ke pantai, aku meminta kakakku membelikan aku produk tersebut untuk aku mencubanya.  Pada minggu pertama dan kedua, merah mukaku.   Kulitku tearsa tegang dan minggu kedua mula mengelupas dan terasa gatal apabila kering.   Tetapi aku sudah biasa dengan produk pengelupasan ini.  Pantang larang yang paling besar sekali ialah jangan menggosok kulit yang mengelupas dengan jari dan semasa mandi bolehlah gosok dengan lembut apabila terasa ada kulit mati yang tertanggal.  Hari ini aku sudah menggunakan produk ini sudah tiga minggu.  Kulitku semakin halus tetapi masih lagi nampak kemerahan-merahan.  Aku juga mendapat maklumat, produk itu mempunyai beberapa bahan kimia yang amat tinggi seperti Mercury dll dan telah diiharam untuk dijual.   Tetapi setelah aku memakainya, aku rasa banyak produk di Malaysia pun seperti itu juga dan ada juga lebih bahaya daripada ini.  Rasa tidak sabar untuk menunggu hingga minggu ke empat.  Aku berharap di hari lebaran nanti, wajahku akan nampak berseri ditambah pula dengan baju baru yang telah aku beli di Metro Point, Kajang semalam.

Jumaat, 19 Julai 2013

Buka puasa di hujung minggu

19/7/2013 (Jumaat)

Sudah lama aku tidak menulis di blog ini, lebih-lebih lagi di bulan puasa, masa terlalu terhad.  Transit pula ditutup jam 6.00 petang pada bulan Ramadhan, maka tepat 5.30 petang aku akan berdiri depan mesin perakam waktu untuk melalukan kad pekerja menandakan aku telah tamat bekerja pada hari itu.   Semasa dalam perjalanan apabila jalan terlalu sesak, aku merasa cuak kerana takut lewat sampai ke sekolah agama.  Setelah beberapa kali aku cuba berusaha untuk sampai ke situ sebelum jam 6.00 petang, tetapi tidak juga berjaya.  Paling cepatpun aku hanya boleh sampai jam 6.15 petang.  Aku memberitahu anakku jika transit ditutup, tunggu di depan sekolah agama sehingga ibu sampai.   Pernah jalan terlalu sesak, ketika itu aku baru belum lagi sampai lagi di Tol  Jalan Cheras berhampiran dengan PPH dan jarum jam sudah pun menunjukkan pukul 6.10 petang.  Aku berusaha mengambil jalan di sebelah kiri  yang boleh lagi kereta bergerak walaupun sesak, Alhamdulillah akhirnya aku sampai jua di sekolah anakku, walaupun jam 6.35 petang.  Dari jauh aku lihat anak-anakku berdiri sambil memandang ke arah jalan kerana menunggu terlalu lama..  Apabila merekak masuk sahaja dari kereta, dan terus merungut di atas kelewatanku.  Aku memaklumkan bahawa jalan sesak dan kemungkinan ada kemalangan berlaku dan aku sendiri tidak pasti kerana tidak terlihat sebarang kemalangan pun semasa melalui jalan tersebut.
 
Di bulan puasa ini, rasa mengantuk di waktu tengah hari tidak dapat ditahan-tahan.  Kemungkinan kerana aku bangun untuk menyediakan sahur buat keluargaku jam 4.30 pagi dan aku tidak tidur lagi selepas itu  kerana membuat kerja-kerja lain sehinggalah aku menghantar anak-anakku ke sekolah  jam 7.15 pagi dan terus ke pejabat.
 
Aku masih mengambil waktu masuk ke pejabat jam 8.30 pagi, kerana anak-anakku sukar untuk bangun pagi kerana mereka akan tidur semula selepas bersahur.  Sebelum sampai ke rumah, kami akan singgah ke bazar Ramadan.  Anakku yang kedua sering membeli air milk shake yang berharga RM1.50 segelas.  Aku selalu membebel kerana Irfan tidak boleh kerap minum air batu, kerana ia selalu akan lelah selepas minum air batu.  Tetapi sehingga kini, beliau belum lagi terkena lelah walaupun setiap hari Irfan membeli air yang mengandungi air batu.  Alhamdulillah....
 
Di bulan puasa ini, belanja harian juga meningkat.   Beli lauk pauk untuk berbuka puasa kadang kala mencecah RM15.00.  Bila di bazar Ramadan bersama anak-anak, lain pula kosnya seperti membeli murtabak,  beli kuih muih, roti John...cuba bayangkan jika 10 hari...
 
Pada hari Sabtu yang lepas, aku bercadang untuk memasak untuk  berbuka puasa.   Sekurang-kurangnya aku boleh berjimat daripada membeli juadah berbuka puasa.   Aku buat Nasi Ayam, Mee bandung (pastenya aku beli pada rakan pejabat).  Memandangkan daun salad masih banyak, aku juga membuat salad untuk menambahkan selera anak-anakku.   Tetapi anak-anakku hanya menjamah Nasi Ayam sahaja...
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Selasa, 2 Julai 2013

Ponteng Sekolah

27/6/2013 (Khamis)

Suamiku masih lagi di Perlis, kerana terlibat dengan Sukan Badan-Badan Berkanun.   Pada 24/6/2013 (Isnin) semua sekolah di Wilayah Persekutuan, Selangor telah diberi cuti khas kerana jerebu yang amat teruk.  Pada hari Selasa, anakku masih lagi tidak hadir ke sekolah kerana kawannya telah menghantar sms mengatakan masih cuti lagi kerana udara masih lagi berjerebu.  Aku pula terus percaya akan sms dari kawan anakku itu.   Pagi  itu aku membawa kedua-dua anakku ke pejabat kerana di transit pun tidak ada apa-apa aktiviti dibuat.  Semasa aku memandu ke pejabat, aku terlihat kelibat beberapa orang budak pergi ke sekolah.  Aku berasa tidak senang hati apabila melihat beberapa orang budak berpakaian sekolah.  Aku menyuruh mereka menjeling ke arah sekolah agama mereka yang dilindungi oleh pokok dan dipisahkan oleh parit besar semasa kenderaan kami melalui  ke jalan besar.  Aku berasa senang hati semula apabila mereka mengatakan kawan mereka memakai baju biasa.
Apabila sampai di pejabat, kawan-kawanku bertanya adakah sekolah mereka diberi cuti lagi, sedangkan sekolah anak mereka telahpun dibuka.  Dengan penuh keyakinan aku mengatakan, di sekolah mereka telah diberi cuti kerana ada yang pulang semula ke rumah setelah pergi ke sekolah. 
Apabila aku pulang dari pejabat, aku lihat banyak bas sekolah berbaris di depan sekolah kebangsaan untuk mengambil budak-budak sekolah pulang.  Aku terus naik angin dan mengatakan sepatutnya hari itu adalah hari persekolahan dan bertanya kenapa kawan anakku  itu menghantar sms mengatakan masih cuti.  Lantas aku menyuruh anakku menghantar sms semula kepada kawannya sama ada kawannya bersekolah pada hari itu.  Jawapan yang diterima ialah "Aku pun tidak ke sekolah dan aku tidur sahaja hari itu".  Apabila aku membaca sms itu, aku pun memeritahu anakku setiap jawapan dari seseorang hendaklah mesti ada pengesahan daripada orang lain juga dan jika tidak betul menyebabkan kerugian pada diri sendiri.   Aku pula tidak dapat melihat berita sepenuhnya kerana sibuk memasak untuk makan malam.  Cuma yang aku dapat pastikan sekolah diberi cuti khas di kawasan Pelabuhan Kelang.   Jerebu...jerebu.....
 
Pada 25/6/2013(Rabu), 
Semasa menghantar Irfan ke sekolah agama, ia memberitahuku ia sakit gigi dan meminta aku membawanya ke klinik gigi. Aku meminta Irfan bersabar kerana jika hendak ke klinik gigi perlu ada temujanji dengan doktor gigi.  Irfan memberitahuku ia tidak tahan lagi  kerana terlalu sakit.  Aku membawanya ke klink gigi di Bandar Hussain Onn.  Malangnya jururawat itu memaklumkan aku terpaksa menunggu satu setengah jam lagi kerana pelanggannya telah membuat temujanji lebih awal walaupun belum sampai ke klinik.  Aku membatalkan niatku untuk berjumpa dengan doktor gigi di situ kerana terlalu lama pula aku perlu menunggunya, sedangkan jika habis awal aku bolehlah  juga pergi ke pejabat pagi itu.  Aku terus pergi ke klinik lain di pekan Balakong,   Apabila doktor itu memeriksanya, ia memaklumkan kepadaku gigi Irfan semuanya elok dan tiada sedikit lubang pun.  Aku tidak meminta sijil cuti sakit untuknya kerana berharap agar irfan akan pergi ke  sekolah kebangsaan.
Balik sahaja dari klinik gigi aku memaklumkan kepada pejabatku yang aku mengambil cuti kecemasan memandangkan waktu itu sudah pukul 11.00 pagi. Kelam kabut aku memasak nasi dan sambal belada ketam agar sempat Irfan makan sebelum pergi ke sekolah kebangsaan nanti.  Tetapi aku lihat Irfan semacam malas sahaja untuk bersiap-siap.  Lantas aku berkeras supaya dia pergi mandi dan bersiap-siap  memakai baju sekolah.   Aku juga menghantarnya sehingga di pintu kelasnya  kerana ia asyik merengek untuk tidak ke sekolah atas alasan tidak sihat.   Tetapi aku tetap berkeras supaya dia masuk juga ke sekolah.
 
27/6/2013 (Khamis)
Irfan masih lagi merengek mengatakan ia tidak sihat.  Aku berkeras dan menyuruhnya bersekolah.  Tepat jam 11.35 pagi, Irfan menaliponku mengatakan ia tidak sihat lagi dan meminta aku mengambilnya.  Aku mengatakan yang aku ada mesyuarat dan macam-macam lagi dan menyuruhnya pergi ke sekolah.  Tetapi apabila aku hendak mengambil anak-anakku dari sekolah, penjaga itu memberitahu Irfan tidak ke sekolah kebangsaan.  Aku bertanya kepada anakku dan ia menjawab badannya panas kerana demam.  Aku menjadi pening dan buntu melihat gelagat irfan yang seolah-olah tidak berminat lagi untuk ke sekolah. Walhal pelajarannya amat memuaskan dan dikelaskan dalam kelas yang pertama dari sebelas kelas yang seusia dengannya.  Keesokan harinya aku meminta ustaz yang berada di pejabat sekolah agamanya memantau agar anakku  pergi ke sekolah kebangsaan.
Suamiku telahpun pulang dari Perlis.  Aku meminta ia memberi sedikit nasihat dan perangsang kepada anakku agar Irfan bersemangat semula untuk pergi ke sekolah.
 
1/7/2013 (Isnin)
Seperti biasa Irfan sekali lagi  mencari akal  untuk cuba ponteng  sekolah kerana cirit-birit.  Aku lihat  memang ia buang air beberapa kali.  Aku menyuruhnya pergi jua ke sekolah.   Rupa-rupanyanya suamiku telah menunggu di sekolah agama,  untuk memastikan dia hadir sekolah.  Semasa  Irfan sedang merengek-rengek kepadaku untuk tidak ke sekolah atas  alasannya sesak nafas,  suami terus datang ke arah kami  dan menyuruhnya naik ke tingkat atas kerana kawan-kawannya telah berada di tingkat atas.  Apabila Irfan melihat ayahnya berdiri sambil memandangnya, Irfan pun terus naik ke tingkat atas tanpa banyak soal jawab.
Semasa di pejabat, aku terbaca di ruangan BH Didik di Berita Harian,   Klinik UPSR Fasa 2 akan diadakan pada bulan Ogos 2013,  Aku terus menghubungi Berita Harian dan ia menyuruhku supaya membuat pendaftaran di laman web yang telah dinyatakan di akhbar itu.  Aku pun mendaftarkan nama anakku yang sulong Muhammad Idzham yang akan mengambil peperiksaan UPSR tahun ini untuk menyertai Klinik UPSR itu.  Tetapi apabila aku cuba untuk membuat pembayaran secara online beberapa kali, malanya tidak Berjaya.  Aku memberitahu suamiku, lantas dia menghubungi kawannya di News Straits Times.  Kawannya menyuruhnya datang ke pejabatnya.  Aku dan suamiku pergi ke pejabatnya pada jam 12.20 tengahari.  Semasa dalam perjalanan ke NST, 6-8 kali Irfan menaliponku supaya datang mengambilnya kerana sesak nafas.  Suamiku menjawab supaya ia berehat dan jangan berlari-lari jika tidak mahu sesak nafas.  Aku memberitahu Irfan  supaya memberitahu  kepada guru kelasnya Cikgu Suriyati , jika Irfan betul-betul sakit, cikgu berkenaan akan menaliponku kelak dan aku akan pergi ke sekolahnya.
Sampai di pejabat NST,  kawan suamiku  membawa kami ke tempat pendaftaran dan memandangkan ia staf di situ, dapatlah kami  dengan potongan harga untuk staf.  Alhamdulillah.....
Balik sahaja dari sekolah kebangsaan, Irfan terus mengajakku pergi ke kedai ikan untuk membeli ikan keli  sebagai ikan peliharaan.   Aku menyuruhnya bersabar dahulu kerana Ikan  Keli di pasar kajang lagi cantik dan harganya pun lebih murah.  Sambil itu juga aku menambah, aku sanggup belikan ikan keli tersebut dengan syarat Irfan tidak lagi buat perangai ponteng  sekolah.   Irfan bersetuju dengan syarat-syaratku dan Alhamdulillah sehingga jam 3.15 petang ini, tiada lagi panggilan dari anakku irfan untuk memintaku mengambilnya di sekolah.....