Rabu, 30 Oktober 2013

SAMAN KERETA

Pada 22 Oktober 2013 Irfan masih demam.   Kebetulan suamiku juga tidak sihat kerana matanya kelihatan merah.  Suamiku mengajakku pergi ke klinik Ilham di Taman Impian, Balakong.  Aku tidak berapa suka untuk pergi ke klinik tersebut kerana tempat letak kereta semuanya kena bayar.  Sampai sahaja di sana, suamiku menyuruhku pergi ke klinik dahulu kerana ia hendak pergi ke kedai hardware.
Setelah  selesai mengisi borang pendaftaran, aku dan anakku duduk sementara menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan doktor.  Tiba-tiba kelihatan suami datang dengan memakai cermin mata hitam.   Aku bertanya kepada suamiku kenapa memakai cermin mata warna hitam.  Rupanya suamiku berkata matanya terlalu silau apabila tidak memakai kanta sesentuh (contact lense).   
Alhamdulillah, aku juga mendapat cuti sakit kerana badanku rasa tidak bermaya dan terlalu letih menjaga anakku Irfan yang demam panas malam tadi.  Cepat-cepat kami bergegas untuk mencari sarapan pagi.  Sampai sahaja di kereta, kelihatan kertas kecil terselit di cermin kereta di depan keretaku.  Baru aku teringat, yang aku lupa untuk membayar tempat letak kereta.  Aduhhhh!  geram hatiku tidak terkira.  Bukannya aku tidak mahu membayarnya tetapi apabila suami mengarahkan aku pergi dahulu ke klinik, menyebabkan aku lupa untuk membayar parking kereta tersebut.   Aku merungut kerana jika aku tidak mengindahkan surat saman tersebut,  aku akan menerima surat amaran tidak habis-habis di masa akan datang.  
Hilang seleraku walaupun roti canai terhidang di atas meja dihadapanku.   Mataku dan suamiku mencari-cari budak yang mengeluarkan surat saman untuk meminta agar jika boleh dibatalkan surat saman tersebut.  Kemudian suamiku mengajakku ke Jalan Loke Yew untuk membuat insuran van yang telah tamat tempoh.  Sementara menunggu urusan suamiku selesai, aku membelek-belek surat saman tersebut dan aku pun cuba telefon ke pejabat MPKJ untuk bertanyakan bagaimana untuk aku membuat rayuan.  Pegawai tersebut memaklumkan aku boleh pergi ke pejabat MPKJ di tingkat dua dan kompaun  sebanyak RM80.00 akan dikenakan tetapi selepas rayuan dapatlah dikurangkap kepada RM20.00.  Memandangkan ada masa lagi setengah jam aku mengajak suamiku pergi ke sana untuk menyelesaikan masalah saman tersebut kerana  tidak mahu ia mengganggu fikiranku nanti.
Sampai di bandar Kajang, suamiku lupa  pula lokasi pejabat MPKJ.  Kami cuba guna Waze untuk mencarinya.  Apabila sampai di sana, aku lihat rupanya bangunan MPKJ sudahpun baru dan tersergam indah.  Pernah beberapa kali aku membayar cukai pintu semasa bangunan baru belum lagi dibina.   Mungkin sudah terlalu lama tidak pergi ke situ, menyebabkan kami berdua hilang terus ingatan di mana lokasi MPKJ.  Selepas itu aku tidak pernah  lagi ke MPKJ di Kajang tetapi aku berurusan di cawangannya pula di Bandar Tun Hussein Onn.

Sampai sahaja di sana, jam sudah menunjukkan 5 minit lagi ke pukul 1.00 petang.  Aku terus berlari masuk ke dalam pejabat tersebut dan aku lihat di kaunter pengawal pun kosong.  Aku cuba bertanya kepada staf yang sedang berjalan untuk keluar makan samada semua pejabat ditutup atau tidak. Staf tersebut memaklumkan kepadaku semua kaunter ditutup pada waktu rehat.  Aku terus telefon suami yang sedang menunggu di dalam kereta dan mengajakknya masuk ke dalam pejabat kerana di luar agak panas.  Sambil aku menunggu suamiku datang, sempat juga aku mengambil gambar bangunan di sebelah pejabat MPKJ.


Pemandangan pejabat MPKJ dari luar


Pejabat bersebelahan dengan MPKJ.


Apabila suamiku dan anakku sampai, kami pun terus menuju ke Cafeterianya untuk makan tengah hari.   Sungguh mendukacitakan, yang ada cuma orang yang sedang menjual makanan tetapi tiada pula kerusi  meja disediakan. Kami duduk kerusi yang disediakan untuk pelanggan di kaunter pembayaran di dalam pejabat.  Suamiku mula merungut dan bercerita semula tentang layanan staf MPKJ di masa lampau.  Dia ingin mencari borang aduan untuk memberitahu pihak MPKJ iaitu di borang saman urusan bayaran boleh dibuat jam 8.00 pagi - 5.00 petang, tetapi tidak dinyatakan ditutup pula waktu rehat.  Waktu rehat beginilah selalunya orang yang bekerja ada masa untuk pergi ke pejabat MPKJ untuk membuat segala pembayaran.




Lantas aku mengajak suamiku pergi makan dahulu memandangkan tadi kami hanya makan sekeping roti canai sahaja semasa sarapan pagi.  Apabila aku mengajaknya makan di restoran mamak yang ada daging kambing, baru ia rasa bersemangat semula.   Anakku Irfan nampak semakin letih, badannya masih panas dan ia tidak dapat cukup rehat kerana urusan kami masih lagi belum selesai.  Ia hanya minum air sahaja dan aku dapat menyuapkan nasi sebanyak 3-4 kali dengan memaksanya berkali-kali untuk makan.  Walau bagaimanapun, akhirnya selesai juga urusanku dengan MPKJ pada petang itu. Alhamdulillah.....

Rabu, 23 Oktober 2013

Hindari Makhluk Halus


Tiba-tiba Irfan demam pula  pagi ini. Cuak rasa hatiku bila mengingatkan yang baki cutiku kini hanya tinggal 7 hari sahaja.  Niat dihati untuk menyimpan cuti rehat tahun ini sebanyak 10 hari hanya tinggal angan-angan sahaja.  Cuti rehat yang aku harapkan untuk dimasukkan ke dalam Award Wang Tunai (AWT)  tidak kesampaian tahun ini kerana Irfan kerap semput-semput.  Jumlah cuti rehat yang  terkumpul sehingga kini baru 59 hari.  Kawan-kawan yang lain sudahpun melebihi 100 hari dan ada yang telahpun cukup 150 hari.  Bila tiba hari terakhir bertugas dalam perkhidmatan  (pencen) nanti dapatlah ganjarannya iaitu wang tunai (perkiraannya 5 bulan dikali dengan gaji semasa).  Dengan duit itu nanti dapatlah digunakan sementara menunggu duit pencen setiap bulan.  Duit pencen pula bukannya dapat penuh seperti mana sekarang, tetapi cuma 3/4 daripada gaji pokok, tidak termasuk elaun, itupun jika perkhidmatan melebihi 30 tahun, jika tidak hanya 1/2  daripada gaji pokok sahaja.

Malam itu aku tidak dapat tidur lena kerana kepanasan.  Seluruh badanku berpeluh-peluh.  Aku menekan butang nombor 3 bagi menambahkan kelajuan kipasku. Aku membaca zikir di dalam hati, dengan harapan  agar aku dapat tidur lena secepat mungkin kerana esok aku terpaksa bangun awal untuk menyediakan sarapan anak-anakku sebelum mereka ke sekolah dan aku juga kena memastikan dapat tiba ke pejabat sebelum pukul 8.30 pagi. Mungkin simtom-simtom pramonopouse agaknya yamg menyebabkan sekejap rasa panas sekejap normal.  Kata orang kalau kita dalam peringkat pramonopause memang selalu rasa panas dan sememangnya aku juga kadang kala merasai kepanasan tersebut walaupun suhu hawa dingin di pejabatku amat sejuk sekali. 

Tepat jam 6.15 pagi, aku membangunkan anak-anakku agar bangun pagi untuk ke sekolah.  Irfan memberitahuku badannya panas dan kepalanya pening.  Selepas aku menghantar anakku Idzham ke sekolah, kemudian aku meletakkan baju  dan beg sekolah agama Idzham di sekolah agamanya.  Terus aku dan Irfan menuju ke Cheras Perdana untuk pergi ke Klinik Kita.  Setelah doktor merawatnya, Irfan diberi cuti selama satu hari.  Aku terpaksa mengambil cuti kecemasan kerana suhu badannya pun amat panas.  Lagipun aku lihat Irfan tidak cergas seperti biasa.  

Aku memaklumkan kepada rakannya yang aku mengambil cuti rehat hari itu.  Aku juga memaklumkan kepada adik beradikku dalam wassup kami yang aku create kumpulan adik beradik.  Macam-macam petua yang diberikan kepadaku, termasuklah Surah Rukyah ini.  Dapat juga aku tahu tentang surah ini dalam internet. Surah ini amat baik sekali kepada yang diganggu makhluk halus.  Aku juga akan menggunakan surah ini di rumah kerana anak-anakku sering takut untuk ke bilik air mahupun untuk masuk ke dalam bilik mereka atau ke dapur jika bersaorangan.   Tiba-tiba aku teringatkan rakan sepejabatku yang sering diganggu makhluk halus sehinggakan ia rasa ingin berpindah dari rumah yang dibelinya.

Jika anda ingin hendak mendengar surah tersebut bolehlah mencarinya di dalam youtube


Ada juga yang memberitahuku, jika seseorang itu sememangnya diganggu makhluk halus, mereka akan mengalami simpton-simpton berikut tatkala mendengar surah ini.

- Pening kepala
- mabuk
- muntah-muntah
- menggeletar
- pengsan
- seram-sejuk
-berdebar-debar

 Bagi anda yang ingin mengamalkan surah ini, bolehlah baca blog tentang Surah Ruqyah di sini.
Peraturannya di sini.  Selamat mencuba.