Jumaat, 30 November 2018

ALAHAN MAKANAN LAUT

Dua minggu yang lepas aku dan suami pergi ke pasar borong Selangor.    Kebetulan anak-anak bercuti sekolah di hujung tahun ni aku suruh mereka mandi awal-awal supaya boleh bersarapan sekali di luar.   Sampai di sana, jam 9.30 pagi dan kami pun menuju ke tapak menjual ikan, daging dan semua bahan-bahan dapur.

Aku berjalan dahulu melihat harga-harga yang dipaparkan.  Dipertengahan jalan aku ternampak ikan sembilang laut yang panjangnya dalam setengah depa panjang.   Aku menyuruh suamiku membeli dua ekor ikan sembilang yang agak kecil sedikit.  Harga sekilo pada hari itu cuma RM17.00 sahaja.   Teringat pula ibuku pernah meminta aku mencari ikan sembilang laut ketika aku pernah melawatnya di rumah adik.    Terdetik dalam hatiku jika berkesempatan aku akan memasak ikan tersebut dan bolehlah masakan itu  aku hantar untuknya menikmati masakanku.  Aduhai kasihan dan sedih pula rasanya dalam hatiku...

Setelah itu, suamiku menunjukkan kepadaku udang galah yang harganya RM36.00 sekilo.  Melihat ia beriya-iya melihat udang galah itu, aku pun menyuruh suamiku memilih udang galah yang besar dalam sekilo beratnya.   Kemudian aku membeli ikan merah yang menjadi kegemaranku untuk dibuat sup ikan ataupun kari kepala ikan.   Akhir sekali kami mencari kerang atau lala pula.  Di sini kebanyakan kerang atau lala masih hidup dan sudah pasti bila dimasak terasa manisnya.  Selesai sudah aku membeli segala keperluan kami pun terus pulang ke rumah.

Sampai sahaja di rumah, aku tiada berlengah lagi untuk menguruskan semua ikan-ikan tersebut untuk dimasak dan disimpan di dalam peti ais.   Udang pula aku masak Udang masak kari ala malbari yang menjadi kegemaran suamiku dan sebahagiannya aku simpan.


Udang Galah Masak kari ala malbari

Selepas masak udang galah, aku membasuh kepah pula.  Kepah yang aku beli ini kulitnya agak nipis dari kepah biasa tetapi lebih tebal daripada lala.   Kepah aku masak masam manis je.. Cuma aku tambah cili blender untuk memberi kepedasan yang lebih sedikit baru rasa sedap...


Kepah Laut masak masam manis

Selepas jam 3.00 petang terasa gatal-gatal di seluruh tubuh badanku termasuk di kulit mukaku yang kemerah-merahan.   Lantas aku terus masuk ke bilik air dan mandi supaya rasa kegatalan dapat dikurangkan.   Pada mulanya nampak terasa lega tetapi selepas itu semakin menjadi-jadi kegatalan tersebut.   Aku terus mengajak anak-anakku ke klinik untuk mendapatkan rawatan.   Aku diberi satu suntikan oleh doktor yang menurutnya aku alah kepada makanan laut. Disamping itu aku diberi pil alahan, pil gatal untuk dimakan pagi dan malam.    Aku pun balik ke rumah dan sampai di rumah, mataku terasa berat dan mungkin dos suntikan yang diberikan oleh doktor tu menyebabkan mataku terasa berat dan mengantuk.


Rabu, 21 Mac 2018

Ikan Patin Masak Tempoyak

Aku bukanlah penggemar ikan patin kecuali ikan patin masak  tempoyak.  Tetapi aku juga tidak mengemari patin yg dibela kerana baunya yg kurang sedap dan lemaknya yang tebal yg boleh memutuskan selera.

Aku juga pernah menikmati masakan ikan patin masak tempoyak di Temerloh dan rasanya juga boleh menaikkan seleraku.
Pernah juga aku cuba membuatnya tetapi tidak sama rasanya. Pelbagai cara telah aku cuba supaya  kesedapannya dapat kurasai.
Suamiku pula sering pergi memancing ikan di sungai mahupun di laut.  Pernah aku mengikutinya memancing di Sungai berdekatan dengan Sekolah Vokasional Dengkil, Selangor.

Jumaat, 12 Januari 2018

Kereta Baharuku...

Sudah lama aku tidak menulis blog, sejak aku ditukarkan ke bahagian yang lain.   Aku terpaksa belajar kerja-kerja baharu.  Aku sememangnya akan belajar dengan bersungguh-sungguh dan  tekun, supaya apabila aku tahu segala pekerjaan yang aku perlu laksanakan.   Ini adalah bertujuan supaya aku tidak mahu menimbulkan masalah kerana tidak mahu mengambil tahu tugas yang telah diamanahkan, lebih-lebih lagi aku merupakan pentadbir yang perlu menyelia bahagian tersebut.  Di bahagian ini, aku ditugaskan untuk menyelia Unit Pentadbiran yang memberikan perkhidmatan seperti bayaran utiliti, tuntutan perjalanan/Elaun Lebih Masa, bayaran penyewaan dan penggunaan masin penyalin, urusan pos dsbnya.   Di bawah seliaanku pula ada 7 orang yang perlu aku pantau dan ditambah dengan 32 orang untuk pematuhan peraturan pejabat.    Selama di bahagian lain, aku hanya memantau seorang dua sahaja.     Bukan semua boleh diatur apa yang kita kehendaki, selagi dinamakan manusia adalah yang tidak berapa suka apabila kita meminta supaya lebih bertanggungjawab dan mematuhi waktu bekerja supaya hidup kita lebih diberkati Allah.   Aku hanya bertawakal kepada Allah disamping cuba melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin.

   Berbalik kepada tujuan aku menulis blog hari ini adalah untuk menceritakan tenang keretaku.  Perbelanjaan baik pulih  keretaku pada tahun lepas amatlah besar, memandangkan setiap bulan ada sahaja kerosakan yang berlaku.   Setiap bulan aku terpaksa mengeluarkan sejumlah wang untuk kos baik pulih tersebut yang kadang kala menjangkau RM1,000.00.  Aku terpaksa berjimat cermat sekiranya kos untuk baik pulih begitu besar.    Entah bagaimana terdetik hatiku untuk menukar kereta baru, apabila aku memikirkan keretaku itu akan membawa masalah jika aku dalam perjalanan semasa menghantar anakku ke asramanya di Port Dickson.  Lebih-lebih lagi jika suamiku tiada di sisiku ketika itu.


Pernah suatu ketika, baharu sahaja seminggu dibaik pulih kerana terdapat bunyi yang seakan-akan berada di bawah kereta sebelah belakang apabila keretaku melalui bonggol tetapi masih lagi berbunyi.   Terasa bosan dan geram kerana tidak habis-habis masalah kerosakan kereta menghantui fikiranku.   Memang cuak dihatiku, jika berlaku sebarang kerosakan pada kenderaanku, kerana aku takut sekiranya apa-apa berlaku ketika aku membawanya ke pejabat atau di mana jua.


Suatu hari, ketika aku dan suami pergi ke NSK Cheras Jaya, tiba-tiba aku terpandangkan sebuah kereta yang bentuknya hampir menyerupai keretaku tetapi ada sedikit bentuk yang agak menarik perhatianku.   Lantas aku bertanya kepada suamiku, apakah jenis kereta yang aku lihat tadi.   Dia memberitahu kepadaku kereta itu adalah produk terbaru Proton jenis SAGA.    Aku mula berkira-kira dan mengintai di Google, harga, bentuk dan warna kereta tersebut.  Walaupun agak murah, tetapi bagi aku selagi tidak mendatangkan masalah,  itu sudah mencukupi.


Suatu hari, ketika pulang dari kerja suamiku terus mengajakku pergi ke show room Proton, di Balakong.    Aku melihat kereta SAGA yang dipamerkan di tengah-tengah ruang tersebut.  Ada dua warna yang dipamerkan iaitu warna coklat dan silver.    Hatiku lebih tertarik kepada warna coklat kerana ia seakan silver tetapi agak gelap. 


Setelah bersoal jawab dengan penjual, aku pun pulang ke rumah untuk memikirkan dahulu keputusan yang perlu diambil.    Seminggu kemudian aku datang semula dan dengan tidak disangka aku pun bersetuju untuk membeli kereta SAGA baharu itu.    Aku dimaklumkan ketika itu Proton memberikan promosi sekiranya dibuat secara trade-in, nilai keretaku itu hanya RM8,00.00 dan ditambah RM1,000.00 kerana kesetiaan aku dengan Proton, disamping itu tambahan RM1,500.00 atau servis 5 tahun percuma jika tidak mengambil RM1,500.00 tersebut.   Memandangkan kos servis juga banyak menggunakan wang, aku mengambil keputusan untuk memilih servis percuma selama 5 tahun.

Penjual kereta tersebut meminta supaya aku membayar wang sebanyak RM150.00 sebagai tanda persetujuan.   Nasib baik aku ada membawa wang sejumlah tersebut, kalau tidak mungkin tidak jadilah aku untuk membeli kereta baharu.   Ia juga meminta supaya aku berurusan dengan bank yang akan menghubungiku bagi urusan pinjaman dalam masa terdekat.

Aku berhubungan melalui wassup dengan penjual kereta tersebut supaya aku dapat menyediakan keperluan seperti urusan insurans dan lain-lain dokumen.    Suamiku memaklumkan kepada penjual kereta tersebut yang kami ingin membawa kadar NCD sebanyak 55% untuk digunakan pada kereta baharu.   Malangnya kami terpaksa berurusan dengan agen insurans kami.   Setelah dimaklumkan oleh agen kami, mereka mencadangkan sepatutnya penjual kereta tersebut yang menguruskannya.   Geram juga aku, sebab banyak perkara yang aku terpaksa uruskan seperti bayaran full settlement dengan pihak bank telah akan uruskan sendiri dan apabila urusan insurans pun perlu aku uruskan, terus aku wassup pada penjual tersebut aku ingin membatalkan hasratku untuk membeli kereta itu.    Sudahlah kepala aku berserabut dengan tugas baharu di bahagian yang baru ditugaskan.   Akhirnya ia pun bersetuju untuk menguruskannya.  Alhamdulillah....


Ketika aku sedang bertugas, aku dikejutkan dengan panggilan telefon yang menyatakan keretaku sudah ada dan bertanya bila aku ingin mengambilnya.   Aku menjawab tunggulah dalam sehari dua kerana aku agak sibuk.    Walhal jika orang lain, sudah tentu tidak sabar untuk mengambil kereta baharu untuk menggunakannya.



Pandangan dari arah belakang kereta SAGA