Dua minggu yang lepas aku dan suami pergi ke pasar borong Selangor. Kebetulan anak-anak bercuti sekolah di hujung tahun ni aku suruh mereka mandi awal-awal supaya boleh bersarapan sekali di luar. Sampai di sana, jam 9.30 pagi dan kami pun menuju ke tapak menjual ikan, daging dan semua bahan-bahan dapur.
Aku berjalan dahulu melihat harga-harga yang dipaparkan. Dipertengahan jalan aku ternampak ikan sembilang laut yang panjangnya dalam setengah depa panjang. Aku menyuruh suamiku membeli dua ekor ikan sembilang yang agak kecil sedikit. Harga sekilo pada hari itu cuma RM17.00 sahaja. Teringat pula ibuku pernah meminta aku mencari ikan sembilang laut ketika aku pernah melawatnya di rumah adik. Terdetik dalam hatiku jika berkesempatan aku akan memasak ikan tersebut dan bolehlah masakan itu aku hantar untuknya menikmati masakanku. Aduhai kasihan dan sedih pula rasanya dalam hatiku...
Setelah itu, suamiku menunjukkan kepadaku udang galah yang harganya RM36.00 sekilo. Melihat ia beriya-iya melihat udang galah itu, aku pun menyuruh suamiku memilih udang galah yang besar dalam sekilo beratnya. Kemudian aku membeli ikan merah yang menjadi kegemaranku untuk dibuat sup ikan ataupun kari kepala ikan. Akhir sekali kami mencari kerang atau lala pula. Di sini kebanyakan kerang atau lala masih hidup dan sudah pasti bila dimasak terasa manisnya. Selesai sudah aku membeli segala keperluan kami pun terus pulang ke rumah.
Sampai sahaja di rumah, aku tiada berlengah lagi untuk menguruskan semua ikan-ikan tersebut untuk dimasak dan disimpan di dalam peti ais. Udang pula aku masak Udang masak kari ala malbari yang menjadi kegemaran suamiku dan sebahagiannya aku simpan.
Udang Galah Masak kari ala malbari |
Selepas masak udang galah, aku membasuh kepah pula. Kepah yang aku beli ini kulitnya agak nipis dari kepah biasa tetapi lebih tebal daripada lala. Kepah aku masak masam manis je.. Cuma aku tambah cili blender untuk memberi kepedasan yang lebih sedikit baru rasa sedap...
Kepah Laut masak masam manis |
Selepas jam 3.00 petang terasa gatal-gatal di seluruh tubuh badanku termasuk di kulit mukaku yang kemerah-merahan. Lantas aku terus masuk ke bilik air dan mandi supaya rasa kegatalan dapat dikurangkan. Pada mulanya nampak terasa lega tetapi selepas itu semakin menjadi-jadi kegatalan tersebut. Aku terus mengajak anak-anakku ke klinik untuk mendapatkan rawatan. Aku diberi satu suntikan oleh doktor yang menurutnya aku alah kepada makanan laut. Disamping itu aku diberi pil alahan, pil gatal untuk dimakan pagi dan malam. Aku pun balik ke rumah dan sampai di rumah, mataku terasa berat dan mungkin dos suntikan yang diberikan oleh doktor tu menyebabkan mataku terasa berat dan mengantuk.