Isnin, 11 Mac 2013

Mc Donalds..oh McDonalds..

10/3/2013 (Ahad)

Pagi itu aku merancang untuk menziarah adikku di Taman Sutera di Bandar Baru Salak Tinggi yang ditimpa kemalangan dua minggu yang lepas.  Pagi itu aku membuat sarapan mee goreng.  Aku membuat dua bungkus mee kuning kerana  hendak membawa sedikit mee goreng ke sana sebagai buah tangan.  Lagipun ibuku juga berada di rumah adikku.  Ibuku juga suka makan mee goreng. 
 
Setelah selesai memasak, aku terus menghidangkannya di atas meja makan.  Pagi itu aku hanya membuat teh kosong sahaja.  Aku sidai kain yang telah dibasuh dan mengemas-ngemas rumah mana yang patut.  Aku menyuruh anak-anakku melihat jadual hari Isnin supaya tidak kelam kabut pada  waktu malam nanti.  Tiba-tiba baru aku teringat pada hari Isnin nanti, mereka akan menghadapi peperiksaan bulan Mac.  Selesai semua kerja-kerja rumah, kami menaiki kereta menuju ke Bandar Baru Salak Tinggi.  

Sampai di pintu, kelihatan adikku Zaini terbaring di atas katil bersaiz single di ruang tamu.  Mungkin disebabkan pergerakannya yang terhad dan tidak boleh naik ke tingkat atas.  Aku melihat kakinya tidak bersimen tidak seperti yang aku bayangkan jika seseorang itu patah tulang.   Adikku memaklumkan kakinya tidak perlu disimen, tetapi dia telah menjalani pembedahan dan dimasukkan besi untuk menyambungkan tulangnya yang patah.  Kesian  aku melihatnya kerana ia tidak boleh bergerak seperti biasa, Hanya duduk dan berbaring di atas katil kerana pergerakannya yang agak terhad.  Walaupun adikku dalam keadan yang sedemikian, dia boleh mendirikan solat dengan duduk di kerusi roda dan anak sulungnya menolong  spray air di tangannya untuk dia mengambil wudhu. Aku juga bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana adikku telah terselamat dan tidak banyak luka di badannya kecuali tulang kakinya dan bahunya yang patah. 
 
Jarum jam menunjukkan 4.45 petang.  Aku mengajak anakku pulang kerana aku hendak pergi ke Pusrawi Kajang untuk mengambil ubat khas untukku.  Ubat itu  perlu aku makan setiap hari.  Jika aku tidak mengambil ubat tersebut, badanku akan menjadi panas walaupun berada di dalam bilik yang mempunyai hawa dingin.  Itulah kesan-kesan pra-monopous. 
 
Jam 5.30 petang, aku sampai di Pusat  Pusrawi Kajang.  Anak-anakku yang keletihan tertidur semasa perjalanan kami ke Kajang.  Terpaksalah aku membangunkan mereka memujuk  untuk masuk sekali ke Pusat Pusrawi itu.  Selesai sahaja urusanku di Pusat Pusrawi, aku mengajak anak-anakku makan di McDonald supaya mereka nampak lebih ceria.  Bila aku mengatakan hendak makan di sana,       muka mereka kelihatan  segar kembali.  McDonald..cDonald..nampaknya petang itu terbang duit aku RM30.00....
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Catat Ulasan