Jumaat, 29 Mac 2013

Sarapan Pagi dengan Spageti

29 Mac 2013 (Jumaat)

Pagi ini aku telah buat Spagetti, telur rebus tiga suku masak dan roti yang aku beli di Tesco, Kajang semalam.   Aku telah mengambil cuti rehat selama dua hari untuk menemani anak-anakku yang sekarang ini cuti sekolah selama seminggu.  Kali ini aku tidak berkesempatan untuk membawa anak-anakku berjalan kemana-mana.  Tapi aku berjanji untuk membawa mereka ke Cameron Highland, Pahang untuk cuti sekolah dimasa akan  datang.  Walaupun begitu, sempat juga aku membeli kain untuk dibuat Baju Melayu, lagipun Hari Raya Aidil Fitri  tak sampai berapa bulan saja lagi.
 
Kuah Spageti



Spageti
 
 
 
Telur rebus tiga suku masak

Kebetulan pula, hari ini ada orang Astro untuk memasang Astro di rumahku pada hari ini. Jarum jam sudah menunjukkan pukul 11.20 pagi tapi tidak sampai-sampai lagi walaupun sudah dua kali orang Astro telefonku.   Aku pula ada rancangan petang ini  ke Pejabat Pendaftaran Negara di  Kajang, untuk mengambil kad pengenalan baru aku dan anakku Idzham yang tahun ini sudah berusia dua belas tahun.  Betul kata orang, penantian itu satu penyiksaan, kerana segala kerja yang perlu aku buat terpaksa aku tunda dahulu.  Jika aku masak untuk persediaan makan tengah hari nanti, jika orang Astro datang, dah jadi separuh jalan pula jadinya....Takkan aku nak duduk di dapur saja, sekurang-kurangnya aku kena tengok apa yang mereka buat kerana suamiku tidak ada di rumah.  Hai...Astro..Astro...sabar aje lah...

Akhirnya sampai jua orang Astro untuk memasang Astro di rumahku.  Memandangkan hanya seorang sahaja yang membuatnya, agak lambat juga untuk memasangnya.  Tepat jam 12.25 tengah hari baru selesai kerja memasang Astro tersebut.

Selepas itu aku pun mulalah bersilat di dapur untuk menyiapkan makan tengah hari pula .   Aku sempat membuat gulai kari ikan bawal, tauge goreng campur tempe, ikan masin jeruk belanak sahaja.  Setelah selesai makan tengah hari, aku bersiap-siap untuk pergi ke Pejabat Pendaftaran di Kajang.  Semasa di dalam perjalanan, aku lihat langit agak gelap menandakan hujan akan turun.  Jalan pula agak sesak menghala ke bandar Kajang.  Jarum jam sudah menunjukkan pukul 3.30 petang. Tidak henti-henti aku  berdoa kepada Allah agar dipermudahkan segala urusanku. Tidak sampai berapa minit kemudian hujan pun turun dengan lebatnya.  Aku terkial-kial juga untuk mencari dan melihat bangunan Perhentian  Bas Kajang kerana hujan lebat menyebabkan aku tidak berapa jelas untuk melihatnya.   Berkat doaku dan diizinkan Allah jua, aku sampai tepat jam 4.00 petang dan mudah pula aku mendapat tempat meletakkan kereta.     Akhir sekali aku dan anakku dapat kad pengenalan tidak sampai sepuluh minit selepas aku mengambil nombor giliran.  Tahniah kepada Pejabat Pendaftaran Negara Kajang kerana kecekapan dalam menjalankan tugas yang diamanahkan....
 
 

Rabu, 27 Mac 2013

Cuti Sekolah

26/3/2013 (Selasa)

Sudah dua hari anak-anakku cuti sekolah.  Sudah dua hari juga aku membawa anak-anakku ke pejabat kerana tiada siapa yang akan menjaga mereka di rumah.  Mereka juga tidak mahu duduk di transit di Sekolah Agama kerana bosan tiada kawan-kawan dan juga bilik air di situ juga rosak.  Mahu tidak mahu terpaksalah aku mengheret mereka ke pejabat.  
Semasa aku memandu kereta ke pejabat, aku lihat ada dua tiga orang budak yang berpakaian sekolah.  Aku dapat merasakan  Idzham tentu ada kelas tambahan, memandangkan tahun ini dia dalam tahun 6.

     "Idzham,  itu budak sekolah mana tu?  itu budak yang pakai baju sekolah itu, dia tahun berapa?"  Aku bertanya bertalu-talu kepada Idzham kerana merasakan yang Idzham sepatutnya bersekolah pada hari itu.

       "Saya tidak kenal" balas anakku Idzham.

       "Hai, takkan Idzham tidak kenal kawan-kawan yang dalam tahun 6"

        "Mana saya kenal semuanya"

        "Iyalah, walaupun Idzham tidak kenal, tapi semasa beratur sekurang-kurangnya Idzham pernah nampak mereka" 

Memandangkan jalan untuk menuju ke jalan besar agak sesak walaupun musim cuti sekolah, aku mengambil keputusan mengambil jalan lain.  Jalan itu menuju ke sekolah Idzham.   Sampai di depan sekolah, aku lihat ramai budai-budak yang bersekolah.   Geram hatiku tidak terkira dengan Idzham kerana mengambil mudah saja.  Aku pula tidak mendapat sebarang maklumat dari  sekolah bila kelas tambahan dibuat.   Pening pagi itu bila aku memikirkan betapa ruginya Idzham kerana tidak bersekolah.

 Aku memberhentikan kereta betul-betul di tepi pagar masuk ke sekolah.   Aku menyuruh Idzham bertanya kepada pengawal sama ada kelas tambahan akan dibuka pada keesokan harinya.   Idzham kembali kepadaku dan mengatakan hanya dua hari sahaja kelas tambahan diadakan. 
 
Sepanjang perjalanan ke pejabat, aku membebel keapda Idzham.  Aku juga memberitahunya, Idzham merupakan seorang yang di dalam kerugian kerana dia sepatutnya bersekolah, tetapi membuang masa mengikut aku ke pejabat.   Sambil itu aku membacakan satu surah yang mana Allah telah bersumpah dengan masa.

 "Demi Masa.  Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salleh serta berpesan-pesan di dalam kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran".
 
    "Idzham tahu tak, jika Idzham bersekolah hari ini, ada malaikat yang akan mencatat segala kebaikan dan pahala Idzham pada hari ini.   Setiap majlis ilmu yang dihadiri, akan ada malaikat yang akan mencatat segala kebaikan kita.  Itulah pahala yang paling mudah untuk kita dapat hanya dengan mendengar apa yang cikgu ajarkan.  Idzham tahu tak?" 
 
Sampai sahaja di pejabat, aku mencari blog yang mengandungi  gudang soalan untuk murid-murid yang akan mengambil peperiksaan UPSR.  Akhirnya dapat juga Idzham  membuat latihan menjawab soalan walaupun berada di pejabatku.  Aku berharap agar Idzham diberi hidayah dan diterangkan hatiku untuk mendapat ilmu.  Aku juga berdoa agar ia akan mendapat keputusan yang cemerlang bagi peperiksaan UPSR nanti.  Amin....
 
 

Rabu, 20 Mac 2013

Kedai Jahit di Taman Sutera.

17 Mac 2013 (Ahad)

Selepas aku bersarapan bersama-sama anakku, aku ingin mengajak anakku ku Taman Sutera di belakang Taman Cheras Jaya, Balakong untuk menempah baju raya.  Tukang jahit bajuku seorang berbangsa Cina yang masih lagi belum berumah tangga.  Ia menjahit baju di rumahnya sahaja.  Bayaran untuk sepasang baju cuma RM50.00 sahaja.  Jahitannya juga kemas.

Semasa aku sampai di sana, adiknya memberitahu kakakknya baru sahaja keluar untuk membeli mentol di kedai.  Aku toleh ke belakang, dari jauh terlihat seorang perempuan yang memakai payung berjalan kaki. 

"Hmm...terpaksa tunggu ke?" berkata di dalam hatiku.

"Saya mau telefon dia pun tidak boleh, dia tidak bawa telefon" kata adik tukang jahit itu dalam loghat Cinanya".

      "Oh! ye ke?.  Tidak apalah ...saya pergi minum dahulu di kedai mamak depan tu.  Nanti saya datang balik."

      "Ok. ok..."

Lantas aku terus menaiki kereta menuju ke kedai mamak di situ.   Kedai mamak itu terletak di deretan kedai tiga tingkat, di atasnya ada dua tingkat untuk rumah apartment. Di  kedai mamak, aku perhatikan pelanggan di situ kebanyakannya orang pendatang.  Mereka memandang ke arah kami.  Mungkin mereka tahu kami bukan penduduk di  kawasan situ.

Setelah selesai minum, aku menuju ke Kedai Mart 99 untuk membeli kapas muka.  Dalam perjalanan aku menuju ke situ, aku terlihat ada sebuah kedai jahit baju.  Aku terus bertanya kepada seorang perempuan yang sedang bercakap dengan pelanggannya.

     "Adik, berapa upah untuk sepasang baju?'
     "RM45.00 sepasang, Kak"
      "Oh. ye ke...."
   
Aku terdiam sebentar.  Kemudian aku terus berpatah balik menuju ke kereta dan mengambil keputusan untuk membuat bajuku di situ sahaja.  Selepas mengambil kain di kereta, aku terus menuju ke kedai jahit baju itu.

      "Hmmm...cuba dululah di kedai itu.  Sekurang-kurangnya aku sudah dapat berjimat RM5.00.  Jika 3 pasang sudah jimat RM15.00 sepasang.  O.klah tu...Alhamdulillah...".

(Sambungan akan aku buat tentang kedai ini - indah kabar dari rupa)

Isnin, 18 Mac 2013

Nak Beli Baju Tidur Anak

16/3/2013 (Sabtu)

Hari ini pelbagai aktiviti yang telah aku rancang kerana anakku Idzham tidak ada kelas tambahan. Aku mengajak anakku pergi SOGO Shopping di Jalan Tuanku Abdul Rahman untuk membeli baju tidur mereka.  Baju tidur mereka kebanyakannya sudah sendat dan seluarnya pun  sudah senteng belaka. 

Setelah siap mengemas rumah (lebih kurang je), tepat jam 10.00 pagi aku pun bertolak ke sana.  Aku memandu dengan laju (kelajuannya cuma 90-100 km sejam, lagipun hari Ahad tidak berapa sesak) dan mengharapkan agar dapat tempat letak kereta di Level B1.  Sampai di SOGO lebih kurang jam 10.30 pagi.  pariking di Level B1 sudah penuh, tapi parking di level B2 masih banyak yang kosong. 

Memandangkan kami semua belum bersarapan, aku mengajak anak-anakku bersarapan di Kopitium Kampung yang terletak di dalam bangunan SOGO Kompleks.  Idzham mengambil Koew Teow Goreng, Irfan mengambil Mee Hoon Goreng dan aku pula mengambil Nasi Lemak Sambal Sotong.   Irfan meminta aku membeli Ayam Goreng kegemarannya.   Kami minum air Teh Tarik sahaja.  Jumlah kos kesemuanya cuma RM15.00.   Tetapi apabila aku memakan Nasi Lemak Sambal Sotong, patah  seleraku.  Terdetik di hatiku "Kalau aku yang buat  Sambal Sotong ini  lagi sedap", tapi hendak buat macam mana, masa tidak mengizinkan.



Selesai bersarapan, kami terus menaiki tangga bergerak dan di Loby kelihatan banyak seluar jeans dan blouse yang potongan harganya mencecah 70 peratus.  Kebetulan pula,  sememangnya aku ingin membeli seluar jeans. 

         "Ibu kata hendak beli hadiah kawan ibu".  Kata anak-anakku apabila melihat aku sibuk mencari seluar jeans yang sesuai dengan badanku..

           "Sekejaplah...Ibu hendak beli seluar ibu"  kataku sambil mencari saiz seluar yang sesuai dengan saiz badanku.  Aku mengambil beberapa jenama yang berlainan dan mencubanya  di bilik persalinan.  

Alhamdulillah, akhirnya dapat juga seluar jeans yang sesuai dan selesa untuk aku pakai nanti.  Memandangkan di pagi hari, mudah sahaja aku membayarnya kerana orang belum ramai lagi.  Selepas itu aku terus pergi ke tingkat 2, tempat pakaian orang lelaki.   Aku terus menuju ke tempat tali leher.  Kebetulan pula ada potongan harga sebanyak 70 peratus untuk tali leher jenama Polo. 

Semasa aku memilih corak yang sesuai dan cantik, aku teringat pula hari lahir suamiku akan tiba iaitu pada 26 Mac akan datang.   Aku pun memilih dua helai tali leher yang aku rasa cantik dan sesuai untuk dpakai di pejabat.  Di hadapan tangga bergerak, kelihatan orang berebut-rebut memilih baju kemaja berjenama ........ kerana potongan harganya 80 peratus.  Aku pun turut sama berebut untuk memilih baju suamiku yang akan dipadankan dengan tali leher yang kubeli tadi.   Akhirnya aku memilih baju warna coklat berjalur coklat cerah.   Cepat-cepat aku terus menuju ke kaunter pembayaran kerana aku sudah terasa keletihan kerana membuat pekerjaaan dengan perasaan ingin mengejar masa.

Anak-anakku mengajak aku ke tingkat tujuh.  Sampai di sana cuma ada jualan barangan rumah seperti barangan bilik tidur dan dapur.  Anak-anakku merengek untuk membeli bantal berbentuk U kerana mereka kata boleh digunakan untuk tidur di dalam kereta nanti.  Aku membeli dua biji yang masing-masing berwarna purple dan hijau tahi lembu.  Selesai semuanya kami pun terus menaiki lift untuk menuju ke tempat letak kereta.

        Aku memandu kereta untuk pulang ke rumah.   Ketika sampai di  jalan persimpangan ke Dewan Bahasa dan Istana tiba-tiba aku  teringatkan sesuatu terus terpacul dari mulutku .
   
       "Astaghfirullah haladzim, Subhanaullah" kataku.
         
         "Kenapa ibu?", kedua-dua anakku  terkejut kehairanan sambil memandang ke arahku apabila mendengar aku berkata demikian. 

          "Sebenarnya Ibu hendak membeli baju tidur koranglah.   Patutlah Ibu rasa macam ada yang kurang".    Geram kepada diri sendiri pun ada juga  kerana aku terleka semasa membeli hadiah kawanku dan suamiku. 
  
            "Tidak apalah, esok kalau tidak ada apa-apa, nanti Ibu belillah baju tidur korang" kataku kepada anak-anakku. 
 
         "Hai, nak beli lain, lain pula yang dibeli" kataku di dalam hatiku.
 

Khamis, 14 Mac 2013

Kursus Penulisan Sastera Kreatif

12/33/3/2013 (Selasa dan Rabu)

Dua hari aku  menghadiri Kursus Penulisan Sastera Kreatif anjuran Bahagian Akademi DBP di Dewan Kuliah.  Penceramah yang dijemput untuk memberi kursus tersebut ialah penulis  terkenal yang dikenali dengan nama Zaen Kasturi.  Zaen Kasturi  merupakan mantan Dewan Bahasa dan Pustaka.  Pada waktu itu, nama Zaen Kasturi belum lagi dikenali ramai.  Aku tidak pernah menegurnya semasa ia bertugas di sini, tetapi hanya melihatnya dari jauh.  Ketika itu aku   bertugas di Bahagian Penterjemahan.  Ketua bahagian aku ketika itu Tn. Hj. Ismail bin Ahmad.  Beliau juga seorang penulis yang menggunakan dengan nama pena Ajikik.   
 
Aku memang suka menulis.  Tetapi aku akan menulis mengikut cita rasaku.  Terpulang kepada pembaca untuk menilainya kerana aku bukan untuk menjadi penulis yang terkenal. Cukup sekadar untuk menulis diari hidupku sebagai kenanganku di masa akan datang.
 
Setelah aku menghadiri kursus itu, sedikit sebanyak aku mendapat ilmu penulisan bagaimana untuk memulakan sesuatu cerpen dan bagaimana pula untuk mengembangkan sesuatu watak.  Jika anda tiada idea pun tidak mengapa.  Sebagai contoh, letakkan satu perkataan yang anda pilih seperti Kringgg.....Anda boleh meneruskan cerpen anda dengan pelbagai gaya.  Kalau saya yang menulis, akan jadi  seperti berikut;-
 
Kringg...Kringg.....
 
Terkejut aku dari lamunan.   Deringan telefon yang berbunyi di ruang tamu telah mematikan lamunanku sejak tadi.  Aku menjadi cemas tatkala mendengar bunyi telefon pada waktu sebegini.   Aku melihat jarum jam menunjukkan pukul 12.30 malam.  Sedari tadi mataku tidak mahu tidur.  Aku menjadi fobia untuk menerima panggilan telefon di   waktu malam disebabkan kisah silamku di  zaman remaja.   Aku pernah menerima panggilan telefon dari Balai Polis Gua Musang yang memberitahu ayahku telah meninggal dunia.  Ketika menerima panggilan dari Balai Polis Gua Musang, jarum jam menunjukkan pukul 12.00 malam. 
 
Berdebar di hatiku untuk menjawab panggilan  telefon itu.  Tapi aku gagahi juga untuk menjawab panggilan itu. 
 
"Arghhh... siapalah agaknya yang membuat panggilan itu"  Aku berjalan pantas untuk menajwabnya.
 
Walaupun Zaen Kasturi tidak berapa pandai untuk menambahkan sedikit humor dalam ceramahnya tetapi aku dapat juga sedikit sebanyak ilmu yang diberikan.  Beliau juga menerangkan bagaimana untuk mengembangkan sesuatu watak dalam sesuatu cerpen.  Contoh saya mulakan Puteri Alina suka menyanyi lagu-lagu asli.  Saya cuba kembangkan watak Puteri Alina seperti ini:
 
Puteri Alina amat suka menyanyi lagu-lagu asli.   Rambutnya yang panjang mengurai di hias pula  bunga melur menambahkan seri di wajahnya.  Cucuk sanggul di selitkan pada sanggulnya di sebelah kanan.  Kulitnya yang putih bersih dan badannya yang tinggi lampai menjadi idaman setiap teruna.  Malam itu Puteri Alina memakai baju kebaya sulam berwarna biru laut.  Memancar-mancar cahaya apabila labuci yang terlekat di bajunya terkena cahaya lampu..
 
Hmm...apa macam?  Kalau diteruskan bolehlah dijadikan satu cerpen.  Menurut En. Zaen Kasturi seelok-eloknya biarlah lebih daripada lima muka surat.  Aku akan cuba membuat satu cerpen, tetapi bukanlah sekarang kerana banyak tugas-tugas lain yang perlu aku buat dahulu...Insyaallah...
 
Walau apa pun, aku mengucapkan terima kasih kepada Akademi DBP dan juga En. Zaen Kasturi kerana sedikit sebanyak aku telah mendapat  ilmu yang mungkin aku boleh gunakannya di suatu hari nanti....Amin.

                                                        Zaen Kasturi


Sijil yang aku terima  kerana  telah menghadiri Kursus Penulisan Sastera Kreatif pada 12 - 13/3/2013 di Dewan Kuliah, Dewan Bahasa dan Pustaka.

 

Isnin, 11 Mac 2013

Mc Donalds..oh McDonalds..

10/3/2013 (Ahad)

Pagi itu aku merancang untuk menziarah adikku di Taman Sutera di Bandar Baru Salak Tinggi yang ditimpa kemalangan dua minggu yang lepas.  Pagi itu aku membuat sarapan mee goreng.  Aku membuat dua bungkus mee kuning kerana  hendak membawa sedikit mee goreng ke sana sebagai buah tangan.  Lagipun ibuku juga berada di rumah adikku.  Ibuku juga suka makan mee goreng. 
 
Setelah selesai memasak, aku terus menghidangkannya di atas meja makan.  Pagi itu aku hanya membuat teh kosong sahaja.  Aku sidai kain yang telah dibasuh dan mengemas-ngemas rumah mana yang patut.  Aku menyuruh anak-anakku melihat jadual hari Isnin supaya tidak kelam kabut pada  waktu malam nanti.  Tiba-tiba baru aku teringat pada hari Isnin nanti, mereka akan menghadapi peperiksaan bulan Mac.  Selesai semua kerja-kerja rumah, kami menaiki kereta menuju ke Bandar Baru Salak Tinggi.  

Sampai di pintu, kelihatan adikku Zaini terbaring di atas katil bersaiz single di ruang tamu.  Mungkin disebabkan pergerakannya yang terhad dan tidak boleh naik ke tingkat atas.  Aku melihat kakinya tidak bersimen tidak seperti yang aku bayangkan jika seseorang itu patah tulang.   Adikku memaklumkan kakinya tidak perlu disimen, tetapi dia telah menjalani pembedahan dan dimasukkan besi untuk menyambungkan tulangnya yang patah.  Kesian  aku melihatnya kerana ia tidak boleh bergerak seperti biasa, Hanya duduk dan berbaring di atas katil kerana pergerakannya yang agak terhad.  Walaupun adikku dalam keadan yang sedemikian, dia boleh mendirikan solat dengan duduk di kerusi roda dan anak sulungnya menolong  spray air di tangannya untuk dia mengambil wudhu. Aku juga bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana adikku telah terselamat dan tidak banyak luka di badannya kecuali tulang kakinya dan bahunya yang patah. 
 
Jarum jam menunjukkan 4.45 petang.  Aku mengajak anakku pulang kerana aku hendak pergi ke Pusrawi Kajang untuk mengambil ubat khas untukku.  Ubat itu  perlu aku makan setiap hari.  Jika aku tidak mengambil ubat tersebut, badanku akan menjadi panas walaupun berada di dalam bilik yang mempunyai hawa dingin.  Itulah kesan-kesan pra-monopous. 
 
Jam 5.30 petang, aku sampai di Pusat  Pusrawi Kajang.  Anak-anakku yang keletihan tertidur semasa perjalanan kami ke Kajang.  Terpaksalah aku membangunkan mereka memujuk  untuk masuk sekali ke Pusat Pusrawi itu.  Selesai sahaja urusanku di Pusat Pusrawi, aku mengajak anak-anakku makan di McDonald supaya mereka nampak lebih ceria.  Bila aku mengatakan hendak makan di sana,       muka mereka kelihatan  segar kembali.  McDonald..cDonald..nampaknya petang itu terbang duit aku RM30.00....
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Sabtu, 9 Mac 2013

Kain oh kain....

9 Mac 2013 (Sabtu)

Hari ini kedua-dua anakku bersekolah.  Yang sulung ada kelas tambahan kerana dia akan mengambil peperiksaan UPSR tahun ini.  Irfan pula ada kem solat untuk darjah empat.  Aku bangun awal seperti biasa walaupun hari cuti untuk menyediakan keperluan anak-anakku. 
 
Selepas aku menjerang air, aku mengejukkan  anak-anakku supaya bangun dari tidur untuk  mandi  dan bersiapkan diri untuk ke sekolah.  Setelah beberapa kali aku kejutkan, barulah mereka bangun untuk pergi ke bilik air.  Aku memaklumkan kepada mereka agar bersiap lebih awal kerana hendak bersarapan di kedai mamak sahaja.  Tepat jam 7.00 pagi kami pun bertolak ke kedai mamak.  Pagi itu Idzham dan Irfan hanya mengambil roti bakar sahaja.
 
Baju kotor telahpun aku cuci malam tadi dan sempat juga aku sidai di jemuran walaupun jarum jam sudah menunjukkan pukul 12.00 malam. Selepas itu aku memeriksa beg sekolah anakku Idzham. Apabila melihat buku sekolahnya, aku berasa  marah dan terkilan kerana Idzham tidak menyelesaikan kerja sekolahnya iaitu pelajaran Sains dan Matematik. Aku asingkan kedua-dua buku itu dan berharap pagi esok Idzham dapat menyiapkan kerja sekolah sebelum pergi ke sekolah.  Ingin pula rasanya  hendak melipat kain yang telah kering, tapi badanku sudah tidak berdaya untuk membuatnya dan mataku juga tidak terdaya untuk berjaga.  Aku berharap pagi esok aku dapat menyelesaikannya.
 
Setelah menghantar kedua-duanya ke sekolah, aku terus pulang ke rumah dan membasuh kasut sekolah mereka memandangkan hujan turun tidak menentu, takut tidak kering pula kasut sekolah mereka.   Kemudian aku mengemas bilik tidurku dan anak-anakku.  Sarung satte pula sudah berbulan-bulan tidak berbasuh.  Aku ingin membasuhnya kerana hari ini aku ada masa sedikit untuk melakukannya.  Di dalam hati juga ingin pergi ke bank dan membeli keperluan untuk persiapan makan tengah hari.  Tapi kain baju yang telah kering juga perlu juga dilipat..Aduh kain..kain...Akhir sekali aku membuat keputusan untuk pergi ke bank dan kedai kerana aku perlu menyediakan makanan tengah hari sebelum anak-anakku pulang dari sekolah...Sebelum pergi ke bank aku sempat membuka sarung satte untuk membasuhnya.

Sebelah petang pula aku sudah merancang untuk menziarahi ke rumah adikku di Dengkil yang telah kemalangan seminggu yang lepas semasa hendak pergi kerja.     Aku juga berharap   dapat melipat kain di waktu malam nanti...hai! kain..kain...

Jumaat, 8 Mac 2013

U mobile oh U mobile...

8 Mac 2013 (Jumaat)

Pagi lagi aku sudah merancang untuk pergi ke Times Square sekali lagi, kerana broad bandku tidak boleh dibuka walaupun sudah seminggu aku membayar bil.  Malam tadi aku telah menyuruh anakku membuka komputer dan melihat sama ada boleh buka internet atau tidak.   Anakku memberitahuku internet masih lagi tidak boleh dibuka.  Aku mula membebel kepada anak-anakku, kemungkinan mereka menggunakan broad band  secara kasar atau kerana suka download games yang menggunakan kapasiti yang besar.
 
Aku mengajak suamiku menemaniku  ke Times Square.  Dalam keadaan malas dan terpaksa untuk menemaniku sekali lagi kerana dia berasa bosan untuk menunggu waktu yang agak lama seperti yang kami telah pergi pada minggu lepas. 

Sampai sahaja di sana, aku berasa lega kerana kaunternya agak lengang dan berharap aku dapat menguruskan broad bandku dengan cepat.  Aku ingin mengambil nombor giliran, tetapi pengawal memberitahuku mesin tersebut rosak.  Ia juga memaklumkan hanya urusan pembayaran sahaja yang boleh dibuat. Pengawal itu pula bukannya orang Malaysia kerana apabila berbicara denganku ia tidak berapa fasih dalam bahasa Melayu.  Kadang kala aku terasa pelik, pekerja di U mobile service di Times Square tidak ada seorang pun yang berbangsa Melayu.  Nampak sangat orang Melayu seolah-olah menumpang di negara sendiri. 

Apabila pengawal itu berkata hanya pembayaran bil sahaja boleh dibuat,  dalam fikiranku berkata,  berapa kali lagi aku hendak mengadap U mobile service centre ini.   Bosan bila mendengar berita itu, lantas aku terus menuju ke kaunter, dan memberitahu petugas di situ aku hanya ingin tahu  kenapa dan mengapa  broad band aku tidak boleh beroperasi.   Petugas ini mengambil dan memeriksa broad band aku dan setelah itu ia memaklumkan talian internetku telah ditamatkan.  Hairan bin ajaib pula apabila aku mendengarnya, sedangkan baru seminggu aku membayar bilku itu.  Semasa aku membayar bil aku itu, tidak pula petugas berkenaan memberitahuku talianku  telah tamat perkhidmatan.

Aku bertanya lagi, apa yang perlu aku lakukan untuk menyambung semula talianku itu.   Petugas itu memaklumkan yang aku perlu mendaftar semula seperti mula-mula dahulu dengan mengisi borang pendaftaran.  Dengan tidak berikir lebih lama, aku terus sahaja bersetuju kerana ia memaklumkan tiada  bayaran tambahan  dikenakan kepadaku.  Petugas itu memaklumkan kepadaku dua jam selepas itu bolehlah digunakan. Aku lebih suka menggunakan U mobile kerana ia lebih murah berbanding daripada yang lain, bayaran bulanannya hanya RM68.00 sahaja sebulan.

Tidak sampai satu jam, aku dan suami keluar dari bangunan Times Square. Suamiku bertanya kepadaku sama ada aku sudah makan atau belum.  Aku menggelengkan kepala tanda belum makan lagi.  Kami singgah makan tengah hari di Restoran Mamak berlaukkan   gulai kari kambing kegemaran suamiku.  Selepas itu kami pulang ke pejabat, dan sempat juga suamiku bersembahyang Jumaat di bangunan lama Dewan Bahasa dan Pustaka.  Alhamdulillah...

 

 

Rabu, 6 Mac 2013

U mobile service centre

3 Mac 2013 (Ahad).  
 
Pagi itu  aku telah membuat nasi lemak untuk sarapan pagi  keluargaku.  Sememangnya aku juga  suka makan nasi lemak.  Jika aku sampai awal ke pejabat, sudah tentu nasi lemak pilihanku.  Paling penting untuk buat nasi lemak ialah sambal tumis mesti sedap.  Sambal tumis yang sedap sudah tentunya  apabila terbau aromanya sahaja   boleh  menaikkan selera untuk makan.  Aku bukan hendak meninggi diri  tetapi semasa adik-adikku kecil, mereka amat suka dengan sambal tumis ikan bilisku...terutama adikku Adnan (allahyarham).   Anakku yang kedua iaitu Irfan pun amat suka dengan sambal tumisku.  Kadang-kadang aku memarahi Irfan jika dia makan sambal tumis itu banyak sangat kerana ia ratah  sambal ikan bilis begitu saja.   Tepat jam 9.00 pagi, nasi lemakku telah siap terhidang di atas meja.  Aku mengajak suami dan anak-anakku untuk bersarapan pagi bersama-sama di meja makan. Sempat juga aku mengambil gambar tetapi malangnya lupa pula hendak mengambil gambar nasi lemaknya....
 
set nasi lemak
 
 
Sambal tumis ikan bilis
 
Sayur kangkung goreng
Telur rebus
 



Semasa bersarapan, sempat aku memberitahu suami untuk pergi ke Times Square U Mobile Service Centre kerana kaunter U Mobile beroperasi setiap hari walaupun hari minggu.  Tujuanku ke sana adalah  kerana broad bandku tidak berfungsi sejak seminggu dua ini.  Kemungkinan aku telah  terlewat bayar sehingga bil yang kedua pula telahpun sampai.  Suamiku juga memberitahu ingin pergi majlis perkahwinan anak kawan sepejabat kami yang diadakan di Dewan Bankuet, Dewan Bahasa.
 
Selepas sarapan pagi, aku menyuruh anak-anakku mengemas bilik tidur mereka dan melihat jadual sekolah hari Isnin takut tak sempat.  Biasalah bila malam semua dah letih dan mereka akan malas untuk membuatnya.  Aku pula menyidai kain yang telah siap dibasuh di penyidai kain.   Cepat-cepat aku menguruskannya sehingga badanku berpeluh-peluh seperti orang baru bersenam.  
 
Setelah selesai semuanya, aku terpaksa mandi sekali lagi kerana aku rasa tidak selesa jika badanku berpeluh-peluh.  Jam 11.45 pagi kami pun bertolak menuju ke bandar Kuala Lumpur.   Aku memaklumkan kepada suamiku untuk pergi ke majlis perkahwinan dahulu sebelum pergi ke Times Square.
 
Sampai sahaja di Dewan Bankuet, kelihatan kawan kami Zaharuddin Bab memakai baju berwarna biru, begitu juga dengan kaum kerabatnya.  Tema yang mereka gunakan ialah warna biru.  Suamiku siap tambah sepinggan lagi nasi minyak kerana katanya lauk dagingnya sedap.  Padahal semasa makan nasi lemak pun bertambah juga.  Aku agak gusar juga kerana suamiku adalah seorang pengidap penyakit kencing manis.  Seorang pengidap kencing manis tidak boleh memakan nasi dalam kuantiti yang banyak kerana ia mengandungi glukos yang boleh menaikkan kadar gulanya dalam darah.

Setelah selesai kami pun menuju ke Times Square.  Walaupun aku bekerja di Dewan Bahasa, baru kali kedua aku masuk ke bangunannya.   Kali  pertama aku pergi ke Times Square semasa  pembukaan bangunan Times Square.  Seronok juga suasana di dalamnya, dan harga pakaian yang terpapar tidaklah begitu mahal.  Kami sekeluarga terus pergi mencari U Mobile Service Centre yang terletak di Lobi sahaja.   Aku mengambil nombor giliran dan dapatlah aku nombor 1112.  Punyalah lama aku menunggu, sehingga suamiku sempat melelapkan matanya.  Mungkin bentuk kaunternya yang terlalu santai menyebabkan orang ramai bertanya terus kepada petugas di kaunter yang mana sedikit sebanyak mengganggu kelancaran tugas petugas tersebut.  Ini adalah kerana  di tempat itu tiada kaunter pertanyaan.  Setelah menunggu hampir satu jam lebih baru urusanku selesai.  

 
 
 
 

Jumaat, 1 Mac 2013

Produk D'Herbs Untuk Kecantikan dan Kesihatan

1 Mac 2013 (Jumaat). 

Hari ini hari Jumaat.  Waktu rehat hari ini agak panjang iaitu 12.15 tengah hari hingga 2.45 petang.  Aku ingin membeli sabun muka di Chow Kit Road yang hampir kehabisan.  Lantas aku  mengajak kawanku Badulaily ke tempat yang selalu aku pergi untuk membeli peralatan solekku kerana di situ aku akan dapat potongan harga sehingga 20 peratus.    Sekurang-kurangnya dapat juga aku membelinya ketika aku tidak mempunyai sebarang aktiviti.  Tiba-tiba aku teringatkan sebuah iklan  di surat khabar yang aku baca semalam tentang produk D'Herbs. Jenama produk tersebut mempunyai kebaikan iaitu boleh membuatkan muka kelihatan bersih dan licin daripada parut seperti kesan jerawat dsbnya.

Tepat jam  12.15 tengah hari aku dengan kawanku bertolak ke sana menaiki kereta.  Kebetulan pula jalan pun agak lengang.  Sampai di sana aku terus bertanyakan tentang sabun muka jenama Sri Mawar.  Harga yang tertera RM45.00.  Seperti biasa aku diberi potongan 20% dari harga asal.  Harga yang diberikan kepadaku RM36.00.  Jimat juga aku RM9.00. 




Buih Pembersih Muka Untuk Kulit Sensitif


Selepas aku, aku ingin melihat produk D'Herbs dan bertanya kepada jurujual itu sama ada di kedainya ada menjual produk tersebut.   Rupanya D'Herbs mempunyai pelbagai jenis produk seperti untuk menguruskan badan, untuk awet muda, fondation dsbnya.  Kawanku lebih berminat untuk menguruskan badan. 

Untuk menguruskan berat badan


Kebetulan badan kawanku itu pun memang over weight.  Aku pula memilih untuk awet muda dan foundation muka.  Bahan awet muda diperbuat daripada pati buah-buahan, rasanya pun sedap.   Kelebihan produk ini adalah untuk menjadikan wajah dan kulit lebih halus, lembab dan lebih anjal.  Ia juga boleh mengelakkan pelbagai penyakit.  Harga Collagen Glow & White ini RM36.00 sekotak yang mempunyai 10 paket (Kegunaan untuk 10 hari sahaja).  Tetapi selepas diskaun dapatlah harga  28.00.  Bermakna 2.80 untuk sehari.  Tetapi kalau difikirkan untuk sentiasa sihat apa salahnya.  Lagi pun produk ini baik untuk bahagian dalaman wanita.  Lebih baik daripada membeli alat komestik yang mahal  tetapi badan tidak sihat.  Betul tak?

Untuk awet muda dan kulit sentiasa tegang

Bedak yang aku pakai sekarang berjenama Sri Mawar.  Walaupun elok tapi  agak berminyak dan jika aku berpeluh atau kepanasan, muka aku kelihatan akan lebih berkilat seolah-olah ada lapisan minyak di atas mukaku

Alhamdulillah setelah aku memakai foundation D'Herbs, mukaku kelihatan lebih halus dan tidak berminyak.  Mukaku kelihatan cerah dan seolah-olah sentiasa berbedak.  Tetapi harganya  agak mahal iaitu RM59.90 selepas diskaun dapatlah harga sekitar RM47.00.   Mungkin kepada orang laih tidak jadi masalah...tapi aku mempunyai pelbagai komitmen lain, nak bayar rumah, kereta dll yang tidak perlu aku senaraikan di sini.

Foundation D'Herbs

foundation D'Herbs


Kulitku sebelum memakai foundation dan Collagen Glow and White

Sempat juga aku meminta kawanku mengambil gambar wajahku sebelum menggunakan foundation D'Herbs untuk dibuat perbandingan.  Nanti selepas ada perubahan, aku akan mengambil gambar wajahku untuk melihat jika ada sebarang perubahan.  Aku berharap selepas ini, aku tidak perlu lagi beralih ke mana-mana produk jika D'Herbs lebih sesuai dan lebih menceriakan hidupku aku...Amin.

 pakai bedak foundation 2 hari selepas pembelian