Isnin, 24 Jun 2013

Tiga Kali ke Klinik...

24/6/2013 (Sabtu)

Pagi itu aku pergi ke sekolah anakku untuk mengambil buku laporan peperiksaan yang telah dijalankan pada bulan Mei  2013.  Tepat jam 8.00 pagi aku terus ke sekolah dengan tidak bersarapan kerana mengharapkan agar dapat balik awal.  Sampai sahaja di kelas anakku 4Wawasan, cuma ada seorang sahaja yang sedang berbicara dengan guru kelas 4 Wawasan  iaitu Pn. Suryati Shariff.  Aku terus duduk di kerusi menunggu.  Kemudian guru itu memanggil nama anakku Muhammad Irfan dan beliau memberi nombor giliran kepada anakku.
Tidak beberapa lama kemudian, tibalah giliranku untuk mengadap Cikgu Suryati.  Pencapaian Muhammad Irfan memang amat memuaskan kecuali Bahasa Inggeris sahaja.  Disamping itu kedatangannya juga tidak begitu cemerlang.   Aku maklum dengan jumlah kehadiran anakku itu kerana Irfan memanag kerap sakit semput yang menyebabkan aku begitu gusar untuk menghantarnya ke sekolah.  Seminggu sebelum itupun Irfan terus menerus tidak ke sekolah kerana tangannya menggigil dan dadanya berombak kencang.   Apabila itu berlaku, Irfan akan  memelukku dan mencium tanganku sambil meminta maaf jika ia pernah membuatku berasa marah di atas kedegilannya.  Bila Irfan berbuat demikian,  aku akan berasa amat bimbang dan sebak, kerana perkara sedemikian tidak pernah berlaku. 
Sudah tiga kali aku pergi ke klinik dan juga hospital KL.  Tetapi doktor hanya memberikannya  ubat demam sahaja, sehinggalah aku pergi semula ke Klinik Kita  dan meminta agar Dr. Shami yang memeriksanya kerana Doktor Shami tahu akan segala penyakit anakku sebelum ini.  Doktor Shami menyarankan agar anakku diambil darahnya untuk dibuat pemeriksaan.
Memandangkan DBP tidak cover untuk pemeriksaan darah, aku terpaksa membayar untuk tujuan itu sebanyak RM107.00.   Aku bersetuju untuk membayarnya kerana yang paling penting ialah aku dapat mengetahui apakah penyakit anakku itu.  Tetapi  apabila aku mendapat keputusan pemeriksaan darah itu, doktor memaklumkan kepadaku ia tidak dapat mengesan apakah penyakit anakku itu kecuali satu iaitu anakku ini mempunyai penyakit seperti alergik sama ada penyakit resdung, asma dsbnya.  Ia menyarankan aku pergi ke hospital untuk pemeriksaan lanjut dan surat pengesahan darinya akan diberikan kepadaku semasa balik nanti. 
Hati aku semakin tidak tenang, lantas aku memaklumkan kepada suamiku dan mengajaknya ke Darul Shifaq di Bangi pada malam itu juga sebagai jalan alternatif. Lagi pula yang amat membimbangkan aku ialah  suamiku akan pergi ke Perlis pada 22/6/2013 (malam) kerana sukan Badan-Badan Berkanun akan diadakan di sana.  Suamiku akur dengan permintaanku, kerana ia bimbang dalam tempoh seminggu dia tidak ada di sisi kami.  Selepas sembahyang Maghrib, kami terus bertolak ke sana.   Sampai di sana aku lihat ramai orang sedang menunggu giliran.  Aku mendapat giliran nombor 30.  Setelah berjumpa dengan salah seorang ustaz di sana kami pun pulang dan sampai di rumah jam 11.45 malam. 
Pada 21/6/2013, aku lihat ada perkembangan positif pada Irfan.  Aku membawa baju sekolah ke pejabat dan berharap dapat menghantar Irfan ke sekolah di waktu tengah hari nanti.  Tapi Irfan asik merengek supaya dia diberi cuti kerana hari itu ada sukantara dan dia takut jika guru akan menyuruhnya terlibat sedangkan dia rasa belum begitu pulih.  Disamping itu Irfan telah berjanji akan hadir ke sekolah pada minggu depan.  Akhirnya aku pun bersetuju dengan alasannya itu.
Selepas ini aku berharap, anakku Muhammaf Irfan akan terus sihat walafiat dan menjadi anak yang soleh dan  cemerlang di dunia dan di akhirat. amin...

Ahad, 16 Jun 2013

Topeng Muka Anonymous

16/6/2013 (Ahad)
 
Pagi ini aku merancang untuk membeli nugget, jejari ketam, frankfurter (jejari daging) dll di pasar Kajang  buat jualan semasa Karnival DBP pada hari Khamis iaitu 20/6/2013 nanti.   Bahagian Pentadbiran Penerbitan akan menjual kekacang dan makanan ringan.  Aku pula akan menambahkan sedikit barangan peribadi untuk memeriahkan suasana seperti menjual nugget, bebola sotong, jejari ketam dan juga Air Batu Malaysia perisa Asam Boi. 
 
Untuk membuat Air Batu Malaysia, aku terpaksa mencari asam boi warna merah dan warna putih untuk direbus bersama dengan sedikit gula kasar.   Ini adakah untuk menyedapkan rasa Air Batu Malaysia perisa Asam Boi kerana ada rasa masin, masam dan manis.
 
Jam 9.00 pagi aku dan anak-anak bertolak dan aku meletakkan kereta betul-betul depan Mydin Kajang.  Pagi itu tidak banyak  lagi kenderaan, maka mudahlah aku mendapat tempat letak kereta di situ.  Kami bersarapan di restoran mamak yang bersebelahan dengan MetroPoint Kajang.  Selepas aku membeli keperluan untuk karnival DBP, anak aku pula merengek untuk membeli ikan keli sebagai ikan peliharaan.  Memandangkan hari itu tiada ikan keli, Irfan meminta pula untuk membeli ikan naga.  Seekor berharga RM4.50.  Irfan membeli dua ekor ikan tersebut.  Aku sempat juga membeli daging lembu dengan harga RM20.00 sekilo.  Teringin pula aku untuk membuat daging masak lemak kuning.
 
Memandangkan pagi itu masih awal, aku pergi ke MetroPoint untuk membeli bunga-bunga kering untuk dibuat hiasan di rumahku.  Apabila kami hendak pulang, sekali lagi Irfan meminta untuk membeli topeng muka.  Aku bersetuju untuk membeli topeng tersebut, dengan syarat Irfan perlulah membayar semula apabila sampai di rumah nanti.  Setelah dibuat rundingan bersama, aku menuju ke tempat jualan topeng tersebut.  Harga yang diletakkan di topeng tersebut RM12.00.  Aku cuba meminta harga dikurangkan, dan dapatlah tepeng itu dengan harga RM10.00.  Irfan memilih topeng berwarna putih.  Kata Irfan topeng tersebut dinamakan Anonymous Mask.  Menurutnya lagi setiap topeng mempunyai karektornya tersendiri.  Warna putih bermaksud kejahatan, warna merah bermaksud kegagahan dll lagi yang aku sendiri pun tidak memahaminya. 
 
 
 
Irfan memakai topeng anonymous
 

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 

 
 


Isnin, 3 Jun 2013

Batuk Selsema

3 Jun 2013 (Isnin)

Sudah lama aku tidak mengemaskini blog Diari Hidupku ini, kerana aku asyik fokus dengan pengisian Pertandingan Blog Antara Ahli Puspanita DBP.   Hari ini aku cuti sakit kerana sakit kepala disebabkan selsema dan batuk-batuk.  Sudah tiga minggu, aku ditimpa penyakit batuk ini.  Punca aku terkena penyakit batuk,   ketika aku sedang minum air kosong di tempatku bertugas.  Tiba-tiba aku tersedak dan aku terus batuk tidak henti-henti sehingga ke malam.  Aku merasakan dadaku agak berat dan aku rasa mengah untuk bernafas seolah-olah macam orang sakit semput.  Memandangkan ada pil lelah anakku, aku mengambil satu biji dan menelannya.  Tidak sampai 10 - 15 minit, aku rasa badanku menggigil.  Esoknya aku masih lagi bekerja, dan batukku masih lagi berdendang-dendang kedengaran di ruang pejabatku.  Memandangkan aku hendak pergi ke Pusrawi, Kajang untuk  mengambil ubat hormon,  aku mengambil keputusan balik awal bagi mengelakkan kesesakan jalan raya.   Aku memaklumkan kepada doktor yang aku batuk dan memberitahunya yang aku rasa menggigil selepas makan ubat lelah anakku.   Doktor itu memberitahuku yang aku tidak semput, kerana itu adalah kesan  ubat lelah anakku itu.  
 
Memandangkan batukku semakin lama semakin teruk dan suaraku juga berubah menjadi semakin garau, sekalii lagi aku  ke klinik yang aku biasa pergi berdekatan di rumahku.  Sudah dua kali, aku pergi ke klinik tersebut, tetapi tidak menunjukkan sebarang perubahan, malahan semakin teruk pula. Memandangkan tidak baik juga, aku pergi kali ketiga dan alhamdulillah ada perubahan, walaupun masih lagi batuk-batuk dan selsema.  Doktor memberikanku ubat batuk bentuk pil pula.  Tiba-tiba aku terfikir sebelum aku dihidapi penyakit batuk-batuk yang teruk ini, cuaca sememangnya amat panas sekali dalam sebulan dua ini.  Walaupun di malam hari, badanku akan berpeluh-peluh dan terpaksa menekan nombor tiga  supaya angin kipas kuat berpusing.
 
Aku berharap akan cepat sembuh, kerana apabila badanku tidak sihat kerja rumah pula banyak yang tidak selesai.  Hendak masak untuk anak-anak pun kena hati-hati agar anakku juga tidak berjangkit dari penyakit batukku. Amin.
 

Pelbagai jenis ubat
 
 
Ubat batuk dalam bentuk pil