Khamis, 30 Januari 2014

Mana Satu Pilihan Hati? Tepuk Dada Tanya Selera...

Alhamdulillah tahun ini aku dinaikkan pangkat setakuk lagi.  Aku ditukarkan di Bahgaian Pengurusan Personel di bawah Unit Pengurusan Maklumat.  Salah satu tugasku ialah menguruskan Pelupusan Rekod dan Fail di DBP.  Selain itu aku ditugaskan untuk menguruskan kelulusan semua Pekeliling Kerajaan untuk digunapakai oleh organisasiku.  Disamping itu aku juga ditugaskan untuk mengadakan mesyuarat dengan semua Pembantu Tadbir dan juga semua Pembantu Operasi yang dulu dikenali dengan nama Pembantu Am Pejabat (PAP) di semua Jabatan/Bahagian.  Kedua-dua mesyuarat  itu perlu dibuat sebanyak empat kali setahun.  Aku juga ditugaskan menguruskan Pemantauan dan Penaziran Sistem Pelaksaan Fail dilaksanakan mengikut tatacara yang betul disamping tugas-tugas yang lain lagi.   

Aku tidak menjangkakan yang aku dapat jawatan  tersebut, kerana aku menjangkakan yang staf yang paling senior akan dapat jawatan itu.  Mungkin aku diberi rezeki oleh Allah, kerana setiap kali selepas sembahyang aku tidak pernah lupa untuk berdoa agar Allah murahkan rezekiku dan membuka pintu rezeki seluas-luasnya untuk aku membantu keluargaku.  Atau ini juga merupakan ujian Allah, kerana sejak aku ditempatkan di bahagian tersebut, aku tidak ada masa langsung untuk menulis blog pada waktu makan, kerana Ketua Bahagianku sering memaklumkan kepada stafnya dalam mesyuarat, tatkala jarum jam menunjukkan pukul 2.00 petang, kami semua sepatutnya sudah  berada di meja dan sudah pun memegang pen untuk meneruskan kerja.  Maka dalam masa satu jam, aku terpaksa menggunakan waktu itu untuk makan dan sembahyang dzohor.  Kadang kala rasa mengah pula apabila kita mengejar masa.  Di  waktu bekerja pula, aku sibuk untuk mengemaskini semua maklumat ke dalam sistem rekod yang aku buat sendiri agar mudah untuk aku mencari maklumat di kemudian hari disamping meneruskan kerja-kerja harian.  Tugas barulah katakan!!... 

Salah satu sistem  perekodan yang aku buat sendiri


Ada kalanya aku merasakan ingin berpatah balik sahaja, kerana sebelum ini berada dalam zon selesa, tapi kawan-kawan yang lain memberi semangat kerana alah bisa tegal biasa.   Tapi aku rasa amat kehilangan dalam hidupku sseperti masa untuk menulis blog, mencari maklumat baru, kawan-kawan di blog dll lagi.   Untuk menulis di sebelah malam pula, aku sudah pun keletihan selepas menyediakan makan malam disamping mengemas rumah mana yang patut.

Setiap pagi, aku terpaksa menguruskan sarapan dan keperluan anakku  Irfan yang bersekolah di waktu pagi dan menghantarnya dahulu, kemudian menghantar beg sekolah dan baju melayu di sekolah agama, selepas itu menghantar anakku yang sulung pula di Cheras Jaya di rumah saudaraku, kerana anakku bersekolah menengah di sana.  Anak-anakku pula susah untuk bangun dari  tidur di waktu pagi, kadang kala mengambil masa 10 -15 minit baru bangun setelah dikejutkan.. Ini menambahkan lagi stress aku di waktu pagi, lebih-lebih lagi jalan pula terlalu sesak yang kadang kala mengambil masa satu jam baru sampai ke pejabat. Sebab itulah aku tetap mengambil waktu ketiga iaitu jam 8.30 pagi untuk masuk ke pejabat. Setiap kali aku memandu kereta ke pejabat, aku selalu berdoa agar dipermudahkan segala urusan dengan membaca membaca surah Al-fatihah dan surah Alam Nasyrah yang dikenali dengan nama Surah An-Nasr. Aku harap ini cuma sementara sahaja setelah aku sudah pakar dalam tugasku nanti. Insyaallah, Amin...


Surah Ash-Sharh
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani
Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: Dadamu (wahai Muhammad serta mengisinya dengan iman dan hidayat petunjuk)? (1) Dan Kami telah meringankan daripadamu: Bebanmu (menyiarkan Islam); (2) Yang memberati tanggunganmu, (dengan memberikan berbagai kemudahan dalam melaksanakannya)? (3) Dan Kami telah meninggikan bagimu: Sebutan namamu (dengan mengurniakan pangkat Nabi dan berbagai kemuliaan)? (4) Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (5) (Sekali lagi ditegaskan): Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (6) Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain), (7) Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini). / (8)


Surah Alam Nasyrah atau Surah An-Nasr


Nota:

Ingin tahu kelebihan surah Alam Nasyrah..jom lawat di blog ini.

Kelebihan Surah Alam Nasyrah

Ahad, 12 Januari 2014

Kayu Itu Menawan

Suamiku memang suka betul jika perabot atau apa juga yang diperbuat daripada kayu.  Katanya buatan kayu ini amat seni dan ia diperturunkan dari nenek moyang hinggalah kepada generasi sekarang.  Cuma generasi sekarang lebih suka kepada yang lebih mudah dan ringkas.
Pagi itu kami telah pergi minum di kedai mamak di Jalan Semenyih.  Suamiku suka pergi ke situ kerana di kedai itu ada kari telur ikan tenggiri.  Dengan dua keping roti canai yang masih panas dan dicicah pula dengan kari telur ikan tenggiri sudah cukup untuk mengenyangkan perut hingga ke tengahari.
Selesai sarapan  suamiku mengajakku ke kedai kayu terpakai di kawasan Semenyih.  Kebanyakan kayunya adalah kayu lama dan terpakai.  Tetapi menurut suamiku, kayu yang ada di situ, amat baik kerana kayu tersebut sudah cukup kering dan tahan lama kerana jenis kayunya yang baik.  Harga kayu tersebut sama mahalnya dengan harga kayu baru.
Apabila kami pulang, suamiku ternampak kedai yang menjual dan mempamerkan semua barangan buatan kayu.  Mungkin dengan melihat perabot dan lanskaping di situ, boleh menimbulkan idea baru kata suamiku. Aku juga amat berminat dengan perabot dan hiasan yang diperbuat daripada kayu, tetapi keadaan rumahku yang tidak sesuai selain tidak mampu untuk memilikinya.  Diharap dengan adanya gambar yang dipaparkan ini, kawan-kawan bolehlah mendapat idea dan merancang untuk membuat dirumah sendiri nanti. Insyaalllah...

Kedai yang menjual barangan yang diperbuat daripada kayu
Pintu Gerbangnya pun diperbuat daripada kayu



Apabila kamu memasuki ke dalam kawasan tersebut, kelihatan kolam ikan yang agak besar terletak di sebelah kiri kami. Anak-anakku terus menuju ke sana.  Kelihatan banyak ikan yang terdapat di kolam tersebut dan saiznya pula besar-besar belaka.


Saiz ikan yang besar terdapat dalam kolam ini.

Kura-kura menyambut kedatangan kami


Kepada kawan-kawan yang mempunyai kawasan yang besar dan luas di rumah, bolehlah membuat kolam ikan yang boleh menyejukkan mata memandang.

Pondok untuk berehat yang terletak di sebelah kolam ikan


Meja dan kerusi kayu yang boleh digunakan untuk makan seramai 6 orang.


Mini Bar

Mini Bar

Rumah Kecil yang amat diminati oleh suamiku untuk membuatnya di suatu hari nanti.  Haega rumah tersebut lebih kurang RM19,000.

Jemu duduk di dalam rumah, bolehlah duduk di rumah kecil ini pula...



Burung Kakak Tua berwarna putih yang dibela oleh tuan punya kedai 
Kerusi Untuk Bersantai

Buaian Kayu yang lebih selamat untuk anak-anak kecil  bermain berbanding daripada buaian buatan besi
Meja makan yang amat besar dan selesa untuk digunapakai semasa makan bersama keluarga yang besar
Meja kecil sesuai untuk anak-anak bersantai di luar rumah
Tempat bersantai yang sesuai di buat di kawasan luar rumah yang luas
Semasa kami keluar dari kedai tersebut, kelihatan seorang pekerjanya sedang membuat rumah kecil.  Saiz rumah tersebut lebih besar daripada yang kami lawati  di dalam tadi.  Amat selesa untuk berehat di dalamnya.  Menurut pekerjanya, semua reka bentuk rumah dan perabot di dalam kedai itu adalah ciptaan tuan punya kedai.  

Rumah yang agak besar sedikit yang sedang dibina di kawasan luar kedai tersebut