Alhamdulillah tahun ini aku dinaikkan pangkat setakuk lagi. Aku ditukarkan di Bahgaian Pengurusan Personel di bawah Unit Pengurusan Maklumat. Salah satu tugasku ialah menguruskan Pelupusan Rekod dan Fail di DBP. Selain itu aku ditugaskan untuk menguruskan kelulusan semua Pekeliling Kerajaan untuk digunapakai oleh organisasiku. Disamping itu aku juga ditugaskan untuk mengadakan mesyuarat dengan semua Pembantu Tadbir dan juga semua Pembantu Operasi yang dulu dikenali dengan nama Pembantu Am Pejabat (PAP) di semua Jabatan/Bahagian. Kedua-dua mesyuarat itu perlu dibuat sebanyak empat kali setahun. Aku juga ditugaskan menguruskan Pemantauan dan Penaziran Sistem Pelaksaan Fail dilaksanakan mengikut tatacara yang betul disamping tugas-tugas yang lain lagi.
Aku tidak menjangkakan yang aku dapat jawatan tersebut, kerana aku menjangkakan yang staf yang paling senior akan dapat jawatan itu. Mungkin aku diberi rezeki oleh Allah, kerana setiap kali selepas sembahyang aku tidak pernah lupa untuk berdoa agar Allah murahkan rezekiku dan membuka pintu rezeki seluas-luasnya untuk aku membantu keluargaku. Atau ini juga merupakan ujian Allah, kerana sejak aku ditempatkan di bahagian tersebut, aku tidak ada masa langsung untuk menulis blog pada waktu makan, kerana Ketua Bahagianku sering memaklumkan kepada stafnya dalam mesyuarat, tatkala jarum jam menunjukkan pukul 2.00 petang, kami semua sepatutnya sudah berada di meja dan sudah pun memegang pen untuk meneruskan kerja. Maka dalam masa satu jam, aku terpaksa menggunakan waktu itu untuk makan dan sembahyang dzohor. Kadang kala rasa mengah pula apabila kita mengejar masa. Di waktu bekerja pula, aku sibuk untuk mengemaskini semua maklumat ke dalam sistem rekod yang aku buat sendiri agar mudah untuk aku mencari maklumat di kemudian hari disamping meneruskan kerja-kerja harian. Tugas barulah katakan!!...
Salah satu sistem perekodan yang aku buat sendiri |
Ada kalanya aku merasakan ingin berpatah balik sahaja, kerana sebelum ini berada dalam zon selesa, tapi kawan-kawan yang lain memberi semangat kerana alah bisa tegal biasa. Tapi aku rasa amat kehilangan dalam hidupku sseperti masa untuk menulis blog, mencari maklumat baru, kawan-kawan di blog dll lagi. Untuk menulis di sebelah malam pula, aku sudah pun keletihan selepas menyediakan makan malam disamping mengemas rumah mana yang patut.
Setiap pagi, aku terpaksa menguruskan sarapan dan keperluan anakku Irfan yang bersekolah di waktu pagi dan menghantarnya dahulu, kemudian menghantar beg sekolah dan baju melayu di sekolah agama, selepas itu menghantar anakku yang sulung pula di Cheras Jaya di rumah saudaraku, kerana anakku bersekolah menengah di sana. Anak-anakku pula susah untuk bangun dari tidur di waktu pagi, kadang kala mengambil masa 10 -15 minit baru bangun setelah dikejutkan.. Ini menambahkan lagi stress aku di waktu pagi, lebih-lebih lagi jalan pula terlalu sesak yang kadang kala mengambil masa satu jam baru sampai ke pejabat. Sebab itulah aku tetap mengambil waktu ketiga iaitu jam 8.30 pagi untuk masuk ke pejabat. Setiap kali aku memandu kereta ke pejabat, aku selalu berdoa agar dipermudahkan segala urusan dengan membaca membaca surah Al-fatihah dan surah Alam Nasyrah yang dikenali dengan nama Surah An-Nasr. Aku harap ini cuma sementara sahaja setelah aku sudah pakar dalam tugasku nanti. Insyaallah, Amin...
Nota:
Surah Ash-Sharh
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani
Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: Dadamu (wahai Muhammad serta mengisinya dengan iman dan hidayat petunjuk)? (1) Dan Kami telah meringankan daripadamu: Bebanmu (menyiarkan Islam); (2) Yang memberati tanggunganmu, (dengan memberikan berbagai kemudahan dalam melaksanakannya)? (3) Dan Kami telah meninggikan bagimu: Sebutan namamu (dengan mengurniakan pangkat Nabi dan berbagai kemuliaan)? (4) Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (5) (Sekali lagi ditegaskan): Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (6) Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain), (7) Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini). / (8)
Ingin tahu kelebihan surah Alam Nasyrah..jom lawat di blog ini.
Kelebihan Surah Alam Nasyrah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan