Jumaat, 27 Februari 2015

Mataku ada Vitreous Floaters

27/2/2015 (Jumaat)

Suatu hari baru aku terperasan di dalam mataku terdapat kekotoran melekat dalam biji mataku. Terbentuk satu imej yang berbentuk garis halus yang melengkung dan di tengah-tengahnya ada satu titik kecil. Aku cuba meletakkan jariku pada mataku dan menggosoknya dengan perlahan bagi mengeluarkan kekotoran itu.  Malangnya imej tersebut tidak  hilang.  Kemudian aku membasuh mukaku dengan air dan sekali lagi aku cuba menggosok biji mataku dengan jari. Tapi imej itu masih juga tidak  hilang.  Aku semakin tidak selesa kerana setiap kali aku menggerakkan biji mataku imej tersebut akan bergerak-gerak sama.

Suatu hari sedang aku memandu kereta pada waktu malam, aku terperasan ada kelibat cahaya.  Setiap kali mataku bergerak aku akan nampak kelibat cahaya yang berbentuk seperti garis melengkung terpapar di mataku. Pada mulanya aku ingatkan cahaya dari motor atau kereta yang berselisih dengan keretaku.  Ketika aku sampai di rumah, aku perasan sekali lagi kelibat cahaya itu masih dapat aku lihat dan rasai.  Baru aku tahu ada yang tidak kena pada mataku.  Cahaya itu  aku boleh nampak apabila aku berada dalam gelap kerana ketika itu aku belum lagi membuka suis lampu.

Kebetulan pula seorang kawan pejabat di sebelahku, mengatakan ia sakit mata.  Kawanku telah pergi ke klinik biasa.  Doktor tersebut memaklumkan kepada kawanku ada kekotoran yang melekat di biji matanya.  Malangnya doktor tersebut tidak dapat mengeluarkan kekotoran tersebut kerana peralatan yang ada tidak sesuai.  Seorang kawanku yang lain telah mencadangkan agar kawanku itu pergi ke klinik pakar mata di Jalan Pudu bersebelahan Pudu Raya.  Kedua-dua mereka bergegas ke klinik tersebut setelah mendapat keizinan ketua kami.

Balik sahaja balik dari klinik mata tersebut, kawanku memberitahu ada kekotoran melekat di anak mata hitamnya.  Doktor mata telah meletakkan bius di anak matanya agar tidak sakit untuk membersihkan kekotoran itu.  Kekotoran itu telah melekat dengan kuat sebab itulah yang menyebabkan kawanku rasa sakit dalam matanya.  

Mendengar sahaja ceritanya, aku terus memberitahu suamiku untuk pergi ke klinik tersebut.  Pada 3 Julai 2014 aku dan suami pun pergi ke klini tersebut.  Sampai sahaja di sana aku mencari papan tanda yang bernama Wong Eye Specialist Clinic.  Klinik tersebut betul-betul berdepan dengan Pudu Raya. Memandangkan kesukaran tempat meletak kereta, suamiku menunggu di tepi jalan berdepan dengan klinik tersebut.  Klinik tersebut berada di tingkat 2.  Setelah aku memaklumkan penyakitku, jururawat itu meletakkan beberapa titik ubat air dalam mataku sebelum berjumpa doktor.

Apabila namaku dipanggil, aku melihat seorang doktor tua berbangsa Cina.  Dia menyuruh aku duduk dan meletakkan mukaku pada alat seperti di kedai cermin mata.  Kurasa aku sesuatu yang memasuki dalam anak mataku seperti berbentuk piring kecil. sebesar kanta sesentuh.  Benda itu berpusing-pusing di permukaan anak mataku.  Aku tidak berasa sakit tetapi air mataku keluar tanpa henti.  Kemudian mataku terasa silau yang amat sangat apabila cahaya yang kuat ditujukan ke dalam mataku.  Mungkin doktor itu memeriksa apakah yang terdapat di dalam mataku.

Setelah dibuat pemeriksaan, doktor tersebut menyuruhku keluar dan menyuruh jururawat itu mmeletakkan  sekali lagi beberapa titik ubat air,  untuknya melihat dalam mataku dengan lebih mendalam.

Setelah dibiarkan aku dalam 5 minit, aku dipanggil semula masuk ke dalam bilik rawatan.  Doktor menyuruh aku baring di katil.  Aku nampak di tangannya alat untuk memeriksa mataku.  Sekali lagi aku merasakan cahaya yang amat kuat masuk ke dalam mataku.  Aduhhh..memang silau dan menyakitkan mata.  Setelah dibuat pemeriksaan, dia menyuruh aku bangun.

Semasa aku bangun, aku merasakan duduk dalam bilik yang amat gelap.  Aku meraba mataku dan aku merasakan mataku terbuka, tetapi aku tidak nampak di sekelilingku.  Apakah aku sudah buta, takut dan menyesal pun ada kerana terlalu yakin dengan doktor Cina itu. Aku dipegang oleh jururawat untuk duduk di kerusi.  Lama kelamaan penglihatanku semakin jelas walaupun masih samar lagi.

Doktor tersebut memaklumkan aku mempunyai Vitreous Floaters di mataku.  Ini adalah disebabkan beberapa faktor.  Salah satu yang menyebabkan mataku mendapat penyakit Vetrous Floater adalah kerana faktor usia.  Doktor memaklumkan punca penyakit ini kerana gel dalam biji mata telah menjadi cair dan telah keluar yang berkemungkinan ada sedikit kebocoran.  Walau bagaimanpun ia memberitahuku, tidak perlu gusar kerana tiada kebocoran di belakang biji mataku.  Kerana sekiarnya ada keboconran, boleh menyebabkan mataku buta.   Ya Allah, sesungguhnya pelbagai cubaan yang kuterima dan aku memohon supaya penglihatanku tidak ditarik balik kerana penglihatan itu amat penting bagiku untuk melihat keindahan ciptaanMu lebih-lebih lagi untuk melihat wajah anak-anakku dan keluarga yang kusayang.  Aku menahan sebak dan turun ke bawah untuk memaklum cerita yang mendukacitakan itu.





Tiada ulasan: